Ikan darat tambah rezeki pemuda pada musim banjir

PASIR MAS, 2 DIS – Banjir yang melanda Rantau Panjang di sini, sejak beberapa hari lepas membawa rezeki kepada seorang pemuda dengan menjual ikan darat yang mendapat permintaan tinggi daripada masyarakat setempat terutama ketika musim tengkujuh.

Mohd Nazri Che Tengah, 24, dari Kampung Bawah Lembah, Gual Periok di sini, berkata beliau mengambil peluang menahan pukat di kawasan dinaiki air sekitar Rantau Panjang untuk menangkap pelbagai jenis ikan darat seperti keli, haruan, tembakang, limbat, tapah, patin dan sepat.

“Selain menahan sendiri pukat, saya juga membantu menjual hasilnya tangkapan saudara mara dan rakan-rakan di tepi jalan.

Dengan jualan sebanyak RM15 bagi sekilogram semua jenis ikan dapatlah saya menambah pendapatan selain dibahagi-bahagikan bersama rakan-rakan yang lain,” katanya ketika ditemui pemberita di Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang di sini, hari ini.

Mohd Nazri berkata setiap hari beliau mampu menjual sehingga 50 kilogram pelbagai jenis ikan kerana mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada orang ramai.

“Bagi sesetengah orang, ikan darat seperti haruan dan keli agak menggelikan namun masih ramai yang gemarkannya apatah lagi jika dibuat gulai kuning ataupun digoreng berlada.

Setakat ini, tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku ketika proses menangkap ikan ini dilakukan. Kalau terkena sengat itu adalah perkara biasa sahaja,” katanya.

Katanya rakan-rakannya yang menangkap ikan darat adalah mereka yang sudah biasa dengan keadaan air di kawasan itu menggunakan pukat, pancing ataupun jala. – Bernama

Peniaga, Mohd Nazri Che Tengah, 24, menunjukkan ikan keli, haruan, tembakang dan limbat antara ikan darat atau ikan air tawar yang dijualnya pada musim tengkujuh di gerainya di Jalan Pasir Mas Rantau Panjang hari ini.