Tuesday, April 22, 2025
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ikan Empurau hidup masuki pasaran luar negara

    Oleh Caroline Jackson

    KUCHING – Sejak 12 tahun lalu, seorang usahawan Sarawak, memanfaatkan peluang yang tidak dilihat banyak pihak dalam bidang akuakultur melalui pengeluaran ikan air tawar tempatan yang sangat berharga, Empurau atau nama saintifiknya Tor tambroides.

    Dikenali sebagai Raja Sungai dalam kalangan pengusahan restoran tempatan, permintaan terhadap ikan air tawar itu menyebabkan ia mencecah harga cukup tinggi kerana bekalannya yang tidak selalu boleh diperoleh akibat tangkapan yang tidak terkawal, kaedah mendapatkannya yang merosakkan serta pencemaran di beberapa sungai yang menjadi habitat spesies ini.

    Dengan harga borong ikan Empurau hidup RM600-750 sekilogram menjadikan ia ikan air tawar termahal di dunia.

    Menyedari skop untuk pengkomersilan dalam pasaran eksport khusus, Pengarah LTT Aquaculture Sdn Bhd, Bill Lu Thian Tack, berkata syarikatnya membangunkan teknologi yang sewajarnya dan kemudahan bernilai RM5 juta bagi pengeluaran Empurau hidup di Asajaya, Samarahan.

    “Pada masa ini kami mempunyai kira-kira 100,000 ekor dengan pengeluaran semasa kira-kira 100 ikan hidup sebulan, yang mana ia adalah untuk pasaran tempatan dan luar negara iaitu ke China, Singapura, Brunei juga Semenanjung,” katanya ketika ditemui Bernama pada Persidangan Antarabangsa mengenai Pertanian dan Industri Asa Tani di Sarawak (ICAAS) 2018, di sini, baru-baru ini.

    Katanya, syarikat berkenaan sentiasa melabur untuk penyelidikan dan pembangunan bagi menyokong dan memperbaiki kapasiti pengeluarannya dengan sasaran 200-300 ekor sebulan, yang memberikan pendapatan bulanan melebihi RM300,000. Lu berkata, untuk pasaran China, pada masa ini ia dianggarkan 1,500 hingga 2,000 ekor sebulan dan syarikatnya juga dalam proses berunding untuk mengadakan usaha sama di China awal tahun depan selepas yang pertama ditubuhkan di Guangzhou dua tahun lalu.

    “Terdapat juga pertanyaan untuk Empurau hidup daripada Jakarta, Indonesia,” katanya dan menambah, untuk ladangnya di Asajaya, Empurau berkenaan diberi makan buah engkabang atau illipenut, sejenis pokok yang hanya boleh ditemui di Borneo yang menghasilkan rasa berkualiti tinggi.” katanya.

    Pada masa ini katanya, sumber makanan ikan itu diperoleh daripada Kalimantan Barat dan pokok engkabang hanya berbuah setiap lima tahun.

    Sangat sukar untuk mendapatkan Empurau liar di pasaran kerana aktiviti pembalakan di Sarawak dijalankan di sungai dan spesies ini hidup dalam sungai yang bersih, jernih serta mengalir deras dengan dasar sungai yang berbatu menyebabkan ikan ini akan berhijrah jika habitatnya dicemari,” tambahnya. – Bernama

    Bill Lu Thian Tack menunjukkan ikan air tawar termahal di dunia, Empurau, di ladang ikannya di Asajaya, Samarahan. – Bernama
    Menyedari skop untuk pengkomersilan dalam pasaran eksport khusus, Bill Lu Thian Tack, berkata syarikatnya membangunkan teknologi yang sewajarnya dan kemudahan bernilai RM5 juta bagi pengeluaran Empurau hidup di Asajaya, Samarahan. – Bernama
    Di ladang Bill Lu Thian Tack, Empurau diberi makan buah engkabang atau illipenut (gambar), sejenis pokok yang hanya boleh ditemui di Borneo yang menghasilkan rasa berkualiti tinggi. – Agensi
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda