Ikan kanai trofi elusif idaman pemancing

Oleh Raz AS

Kanai, nama yang menjadi sebutan di bibir-bibir pemancing kita, namun tidak ramai yang berpeluang untuk merasai tarikan spesies elusif ini kerana spesies ini mungkin boleh dikatakan sudah hampir pupus di negara kita.

Menurut bapa saudara penulis, ketika beliau masih muda ikan kanai merupakan antara tangkapan yang biasa diperolehi, namun kini setelah berpuluhan tahun kemudian muncungnya pun inda lagi kenampakan.

Walau bagaimanapun sekali-skala kedengaran juga ura-ura ada orang berjaya memperoleh kanai, sejauh mana kebenarannya, Wallahualam, penulis hanya mendengar kisah dan khabar daripada orang-orang terdekat, kalau mereka berbohong, bohong jugalah kata penulis ini.

Kanai (Lutjanus goldiei) atau juga dikenali sebagai Tembaring merupakan spesies ikan daripada keluarga Lutjanidae. Walaupun dikenali dengan nama Papuan Black Bass atau ringkasnya Black Bass dalam Bahasa Inggeris, akan tetapi ikan ini adalah tergolong dalam spesies ikan snapper, bukannya bass.

Spesies ini menghuni perairan sungai dan muara yang tawar dan bahal, dengan taburannya terhad di kepulauan New Guinea dan Borneo sahaja. Oleh kerana rupa bentuk ikan kanai yang hampir sama dan berkongsi habitat dengan saudaranya ikan ungah, atau Mangrove Jack, ia boleh membuatkan orang keliru dengan spesies tersebut, lebih-lebih lagi bagi yang bersaiz kecil.

Jika ungah berwarna kemerahan, ikan kanai pula lebih gelap warnanya, iaitu lebih kehitaman, kecoklatan atau keabu-abuan dan mempunyai sedikit warna kekuningan pada badan atau sirip dan ekornya. Kadang-kadang ia juga mempunyai 6 ke 7 taris belang lebar pada tubuhnya.

Ikan yang boleh membesar sehingga 1 meter panjang dengan berat mencecah sehingga kira-kira 20 kilogram ini merupakan pemangsa yang bersifat opportunistik yang menyerang hendap mangsanya yang terdiri daripada ikan, ketam, mamalia kecil bahkan juga buaya kecil.

Disebabkan kepopularannya yang dianggap sebagai ikan daripada keluarga snapper yang terkuat, ramai pemancing dari seluruh pelosok dunia sanggup mengembara jauh ke Papua dan Borneo demi merasakan sendiri tentangan hebat yang diberikan oleh si ikan kanai, termasuklah Jeremy Wade dari rancangan terkenal River Monsters.

Rupanya yang hampir menyerupai ikan ungah. Pemancing dari seluruh pelosok dunia sanggup mengembara jauh ke Papua dan Borneo demi memburu spesies elusif ini. – Agensi