Ikan kedua terlaju di dunia

Oleh Raz AS

Ikan Marlin atau juga dikenali sebagai ikan Mersuji merupakan spesies ikan daripada keluarga Istiophoridae, yang mengandungi kira-kira sebanyak 10 sub spesies.

Ikan mersuji mempunyai badan yang memanjang dan munjung yang menajam seperti tombak.

Sirip dorsalnya bermula daripada bahagian belakang kepala dan mengembang, namun berbeza daripada sirip ikan layaran daripada keluarga yang sama yang mengembang lebar seakan-akan layar kapal.

Ikan mersuji merupakan ikan kedua terlaju di dunia selepas ikan layaran, yang mana kelajuan pecutan renangan ikan mersuji boleh mencecah sehingga kira-kira 80 kilometer sejam bersamaan dengan 50 batu sejam.

‘Gamefish’ terhebat

Antara spesies terbesar daripada keluarga ikan mersuji adalah Atlantic Blue Marlin ataupun Mersuji Biru Atlantik, atau nama saintifiknya Makaira Nigricans, yang boleh mencecah sehingga 5 meter (16.4 kaki) panjang dan seberat 818 kilogram (1,803 lb) dan Black Marlin, Mersuji Hitam atau nama saintifiknya Istiompax Indica, yang juga boleh mencecah sehingga lima meter dan seberat 670 kilogram (1,480 lb).

Ikan mersuji mendapat pengiktirafan sebagai spesies gamefish terhebat bagi sukan memancing di luar pantai, bukan sahaja kerana saiznya yang besar dan pecutannya yang padu, namun ikan ini juga sangat licik memuntahkan mata kail dengan lompatan akrobatiknya menjadikannya sangat susah untuk ditewaskan.

Oleh yang demikian, ikan mersuji merupakan ‘lesen’ yang sangat popular dan diidam-idamkan oleh kalangan kaki pancing, yang mana sehingga hari ini industri sukan memancing mersuji telah menjadi sebuah industri bernilai jutaan dolar.

Ikan mersuji mendapat pengiktirafan sebagai spesies gamefish terhebat bagi sukan memancing di luar pantai.