PHNOM PENH, 21 JUN – Seorang nelayan di Sungai Mekong, Kemboja telah menangkap ikan air tawar terbesar pernah direkodkan iaitu ikan pari (gambar – AFP) seberat 300 kilogram (kg), kata saintis.
Ikan pari air tawar gergasi yang berukuran empat meter dari muncung hingga ekor, ditangkap minggu lalu dan dilepaskan semula selepas dipasang dengan peranti untuk menjejaki tingkah lakunya.
Hidupan marin itu mengatasi rekod sebelumnya bagi kategori ikan air tawar terbesar dipegang oleh ikan keli Mekong seberat 293kg yang ditangkap di Thailand pada 2005, kata projek penyelidikan Wonders of the Mekong yang dibiayai oleh Amerika Syarikat.
“Ikan pari yang ditangkap di wilayah Stung Treng di utara Kemboja, adalah lebih dua kali ganda berat purata gorila tanah rendah, kata pakar.
“Dalam masa 20 tahun mengkaji dan meneliti ikan gergasi di sungai dan tasik, ini adalah ikan air tawar terbesar yang pernah ditemui atau yang didokumenkan di mana-mana di seluruh dunia.
“Ini adalah penemuan sangat menak-jubkan, sekali gus membolehkan kami lebih memahami misteri spesies ini dan sungai yang dihuninya,” kata Zeb Hogan, ahli biologi ikan yang mengetuai projek itu. – AFP