NEW YORK, 9 OKT – Jika anda masih muda dan berasa lapar, tempat yang dikunjungi adalah Bandar New York – walaupun jika anda mempunyai berat 25 tan dan mempunyai lubang sembur.
Pemerhati dan saintis ikan paus di bandar Amerika itu berkata sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah menyaksikan peningkatan mendadak dalam jumlah ikan paus yang diawasi di perairan sekitar New York. Kebanyakan ikan paus adalah jenis humpback, dan saintis berkata ia tertarik ke New York disebabkan terdapat banyak ikan kecil yang suka dimakannya.
Timbulnya pelbagai teori mengenai kenapa ikan paus secara tiba-tiba mengerumuni bandar itu, tetapi dipercayai jumlah ikan menhaden telah meningkat di New York dan New Jersey. Menhaden ialah ikan kecil yang suka dimakan oleh humpback, dan pencinta alam sekitar percaya perairan lebih bersih dan undang-undang pemuliharaan lebih ketat telah menambah jumlahnya di New York.
“Ikan paus nampaknya mendapat mesej bahawa New York adalah tempat yang bagus untuk menjamu selera,” kata Sieswerda. “Peningkatan mendadak itu sungguh luar biasa.”
Kemunculan ikan paus di New York-New Jersey Bight, suak berbentuk segi tiga di pantai Atlantik, telah menarik pelancong yang ingin melihat dan mengambil gambar mamalia laut tersebut. – AP