Ikan paus sesat ditemui mati

SOREL, KANADA, 10 JUN – Seekor anak ikan paus ‘humpback’ yang berenang menyusuri sungai utama Kanada, menarik perhatian penduduk Montreal yang membanjiri kawasan pesisir untuk melihat spesies tersebut di perairan tempatan, ditemui mati semalam.

Jurupandu kapal komersial yang melalui kawasan itu ternampak ‘bangkai ikan paus’ berhampiran Varennes di wilayah Quebec, kira-kira 120 kilometer dari timur Montreal, beritahu Marie-Eve Muller dari Rangkaian Kecemasan Mamalia Laut Quebec (RQUMM) kepada AFP semalam.

Bangkai haiwan itu ditunda oleh jabatan perikanan Kanada ke Sorel, 80 kilometer dari timur Montreal, di mana ia diangkat ke pesisir dengan bantuan kren besar.

“Kemungkinan besar ia ikan paus sama yang dilihat berhampiran Montreal beberapa hari lalu,” kata Muller.

Ikan besar itu telah dilihat pada minggu lalu berenang di sungai Saint Lawrence, menyelam di sebalik latar langit Montreal.

Haiwan berusia dua hingga tiga tahun itu nampaknya sihat dari jauh, dan ahli sains mengharapkan ia berenang kembali ke muara sungai dan Teluk Saint Lawrence, lebih 400 kilometer jauhnya.

Jurupandu kapal, yang menemui bangkai, memberitahu Radio Kanada beliau belum ‘melihat sebarang darah atau kecacatan,’ yang akan menandakan kemungkinan berlakunya perlanggaran dengan kapal.

Kumpulan yang terdiri daripada pegawai RQUMM, perikanan persekutuan dan pegawai perubatan veterinar Universiti Montreal merancang mengadakan bedah siasat untuk menentukan punca kematian.

Media tempatan, memetik pakar, meramalkan ikan paus itu mungkin di-langgar kapal kargo atau terkandas di perairan cetek. – AFP

Bangkai anak ikan paus ‘humpback’ dinaikkan dari air di Sainte-Anne-de-Sorel, Quebec, di mana ia ditunda selepas ditemui di timur Montreal. – AFP