Ikan pelayak: Si pemangsa oportunistik

Oleh Raz AS

Ikan Pelayak atau Lobotes Surinamenisis dalam nama saintifiknya adalah ikan marin daripada keluarga Lobotidae dan genus Lobotes yang boleh ditemui di kawasan tropika.

Ikan yang boleh membesar sehingga 90sm panjang dan 18kg berat ini juga dikenali sebagai ikan kakap hitam atau kakap laut di negara jiran, Indonesia; ikan Pecah Periuk, Puyu Laut, Sepat Karang, Ikan Tidur, Kakap Batu, Kuku Laut, Lundung, Patipok, Sekusong dan Siakap Hitam di Malaysia; Atlantic Tripletail, Tripletail, Black Grunt, Black Perch, Bouy Fish, Dusky Perch dan Flasher dalam Bahasa Inggeris.

Ikan pelayak adalah satu-satunya spesies ikan daripada keluarga Lobotidae yang boleh ditemui di Lautan Atlantik termasuk Amerika Syarikat dari Massachusetts dan Bermuda hingga ke Argentina, Timur Atlantik dan Laut Mediterranean, dari Pulau Madeira ke Teluk Guinea, Timur Pasifik dari Costa Rica ke Peru dan Barat Pasifik dari Jepun ke Fiji dan Tuvalu.

Ikan pelagik yang bersifat semimigratorial ini menjadikan kawasan pesisir pantai laut tropika dan subtropika dan muara sebagai habitatnya. Ia boleh ditemui sendirian atau dalam sejumlah kawanan. Ikan pelayak yang bersaiz besar selalunya berada berhampiran dengan permukaan laut terbuka yang dalam terutamanya berdekatan dengan objek-objek yang terapung. Manakala ikan bersaiz juvenil pula selalunya ditemui di kawasan karang, kapal karam dan tiang-tiang jeti.

Ikan pelayak dikenali dengan kelakuannya yang aneh seperti terapung-apung di permukaan air dengan satu sisinya terdedah ke atas.

Ikan pelayak yang bersaiz besar selalunya berada berhampiran dengan permukaan laut terbuka yang dalam terutama berdekatan dengan objek-objek yang terapung. – Agensi
Ikan pelayak dikenali dengan kelakuannya yang aneh seperti terapung-apung di permukaan air dengan satu sisinya terdedah ke atas seperti daun atau objek hanyut untuk menarik perhatian mangsa mendekatinya. – Agensi

Ini dipercayai merupakan strategi ikan tersebut untuk mencari makan dengan menarik perhatian anak-anak ikan untuk mendekatinya dengan menyamarkan dirinya sebagai daun atau objek hanyut.

Semasa berusia juvenil, ikan pelayak selalunya berwarna coklat, bintik kekuningan dan hitam dengan sirip pektoral berwarna putih. Setelah dewasa ikan ini berwarna hitam legam, coklat gelap hingga coklat kemerahan dengan sedikit kelabu.

Badan ikan pelayak mampat dengan kepala berbentuk segi tiga dan melekuk ke dalam (concave) setelah usianya meningkat. Matanya kecil dan mulutnya pula besar. Ikan ini dikenali sebagai tripletail kerana sirip dorsal, kaudal dan analnya yang hampir sama lebarnya seakan-akan ikan ini mempunyai tiga ekor.

Ikan pelayak merupakan pemangsa yang bersifat oportunistik. Ia menjadikan ikan-ikan kecil termasuk ketam, udang dan krustasea lain sebagai diet utamanya.

Di sesetengah negara ikan ini ditangkap secara komersial menggunakan pancing dan pukat tunda. Selain itu ia juga menjadi sasaran oleh sebilangan pemancing-pemancing rekreasi.