Saturday, April 20, 2024
29.4 C
Brunei

    -

    Ikan pirarucu selamatkan hutan hujan Amazon

    CARAUARI, BRAZIL – Walaupun di hutan hujan paling biodiversiti di dunia, pirarucu, juga dikenali sebagai arapaima, nampak begitu menonjol sekali.

    Pertama, disebabkan saiz raksasa, ia boleh membesar sehingga 200 kilogram, spesies ikan terbesar daripada 2,300 jenis yang diketahui di Amazon. Ia ditemui terutamanya di tasik dataran banjir di seluruh lembangan Amazon, termasuk rantau Medio Jurua.

    Kedua, ikan gergasi itu hampir lenyap dari Jurua, ketika kapal meluncur di tasik dengan pukat besar. Penangkapan ikan yang tidak mampan itu menyebabkan sungai dan komuniti penduduk asli bergelut untuk memperoleh makanan asasi mereka. Dan ia mendorong pirarucu diancam risiko kepupusan, melainkan perniagaan dalam ikan tersebut dikawal ketat oleh Konvensyen Perniagaan Antarabangsa dalam Spesies Terancam Fauna dan Flora Liar.

    Namun sekarang, sesuatu luar biasa telah berlaku. Ikan itu telah kembali ke tasik Medio Jurua.

    Perubahan bermula pada akhir 1990. Dengan bantuan paderi Katolik Belanda, penoreh getah menganjurkan dan memimpin satu kempen untuk memujuk kerajaan persekutuan menubuhkan Rizab Hasil Ekstraktif Medio. Mereka mencadangkan komuniti sungai boleh mengambil hasil dari hutan dan tasiknya sehingga satu tahap dan di kawasan dilindungi.

    Usaha itu telah membuahkan hasil. Kini, komuniti tempatan menghasilkan acai, minyak sayur dan getah, dan mereka meninggalkan hutan dalam keadaan asli. Kejayaan paling ketara adalah pengurusan pirarucu.

    Nelayan semasa menangkap ikan di tasik San Raimundo, Carauari, Brazil. – AP
    Nelayan Gibson (kanan) dan Manuel Cunha da Lima menaikkan ikan pirarucu dari sebuah tasik di San Raimundo, di rantau Medio Jurua, Amazon, Brazil. – AP

    Komuniti yang menetap di tebing sungai juga mencapai perjanjian dengan penduduk asli Deni, yang telah menyaksikan penghijrahan beramai-ramai penoreh getah dan nelayan sebelum ini. Kini mereka membentuk sebahagian daripada penangkapan ikan pirarucu, yang mempertingkat hubu-ngan di antara penduduk asli dan bukan asli.

    Menguruskan kepulangan ikan memerlukan kerjasama dan logistik kompleks. Penangkapan ikan haram telah berkurangan mendadak. Jumlah pirarucu semakin bertambah.

    Kitaran itu berlaku di rantau Carauari, yang terbentang luas di sepanjang Sungai Jurua dan tempat tinggal kepada 35,000 penduduk.

    Penangkapan ikan haram adalah berleluasa di Brazil. Ia adalah jenayah alam sekitar kedua paling kerap di tanah dilindungi, selepas pembalakan, menurut kajian akademik berdasarkan data rasmi. Agensi pemuliharaan Brazil mengeluarkan 1,160 notis pelanggaran penangkapan ikan haram, dalam tempoh lima tahun baru-baru ini.

    Penangkapan pirarucu dilakukan sekali setahun, pada bulan September, tempoh apabila air berada pada paras paling rendah. Kuota penangkapan ikan boleh diperoleh disebabkan sifat unik pirarucu. Ia adalah salah satu daripada beberapa spesies ikan di dunia yang naik ke permukaan untuk bernafas. Ia melakukannya dengan deburan besar, ketika menghempaskan ekor merahnya dari permukaan air.

    Seorang nelayan tempatan dan seorang penyelidik di rantau Mamirarua berjaya membangunkan satu kaedah untuk mengambil kesempatan ke atas kelebihan ini, dan mengira jumlah ikan sejak ia tinggal di bawah air tidak lebih daripada 20 minit. Kerajaan kini menerima kaedah pengiraan ini.

    Tinjauan itu dilakukan sekali setahun oleh nelayan bertauliah, selepas mengikuti kursus yang dianjurkan. Berdasarkan undang-undang, hanya 30 peratus daripada pirarucu di kawasan tertentu boleh ditangkap pada tahun berikutnya.

    Penangkapan ikan terkawal ini telah mendorong kepada peningkatan dalam jumlah pirarucu di kawasan di mana ia dilaksanakan. Di rantau Sao Raimundo, terdapat 1,335 pirarucu di tasik berhampiran pada 2011, apabila penangkapan ikan terkawal bermula. Pada tahun lalu, terdapat 4,092 spesimen, menurut rekod mereka.

    Manakala di rantau Carauari, jumlah pirarucu meningkat daripada 4,916 pada 2011 kepada 46,839, 10 tahun kemudian.

    Sekumpulan wartawan AP menyertai rombongan penangkapan ikan di Sao Raimundo pada hari pertama. Gambarkan puluhan rumah, dihubungkan oleh titian jalan kaki kayu di tengah pokok palma acai. Tiga puluh empat keluarga menganggapnya sebagai rumah. Kebanyakan mereka terdiri daripada keluarga besar Cunha, dengan nenek moyang mereka tiba di rantau itu dari kawasan Timur Laut semasa penanaman getah berkembang pesat dan bekerja sebagai penoreh getah.

    “Pirarucu kami adalah amat sedap, semua orang yang memakannya akan menyukainya dan mahu lebih lagi,” beritahu Rosilda da Cunha, adik perempuan Manoel yang tinggal di Sao Raimundo, kepada AFP.

    Pirarucu membawa pendapatan kepada komuniti, katanya. Tahun ini, matlamatnya adalah membeli sistem panel solar untuk mengganti penjana yang menggunakan diesel. Sebahagian wang juga disalurkan kepada ahli komuniti yang mengambil bahagian dalam penangkapan ikan. Gaji lelaki dan wanita adalah sama.

    Untuk menangkap pirarucu, nelayan menggunakan jaring khas yang lebih kuat, ditenun oleh mereka sendiri. Lubang adalah cukup besar untuk membenarkan spesimen lebih kecil melaluinya, memandangkan mereka dilarang menangkap ikan di bawah lima kaki.

    Apabila nelayan menangkap seekor pirarucu, mereka akan menarik pukat dan memukul ikan di kepala. Kemudian mereka meletakkannya dalam bot kecil. Jika terlalu berat, dua atau tiga nelayan diperlukan untuk melakukan tugas tersebut.

    Pirarucu seterusnya akan dibawa dari tasik ke sebuah bot besar di Sungai Jurua. Di sana, ikan dibuang isi perut, tugas yang kebanyakannya dilakukan oleh kaum wanita, dan disimpan dalam ais. Semua pengeluaran dibeli oleh Persatuan Pengeluar Luar Vandar Carauari, dikenali sebagai Asproc, supaya nelayan tidak perlu bergantung pada orang tengah.

    Asproc telah berkembang menjadi salah satu entiti paling penting di Amazon. Kini ia menjual pirarucu di bandar utama Brazil termasuk Sao Paulo dan Brasilia.

    “Projek ini unik kerana ia memerlukan struktur pentadbiran yang kukuh,” beritahu Ted Gehr, pengarah misi USAID di Brazil, kepada AP. “Semua orang bersetuju mereka mungkin perlu berkorban dan tidak dapat menangkap kesemua pirarucu yang ada tetapi mengetahui ikan itu akan membiak lagi dan dalam jangka panjang ia akan menjadi lebih berharga.” – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...