SYDNEY, 13 April – Gigi tajam di muncungnya seperti gergaji pada ikan Australia iaitu ikan sawfish yang terancam terbukti tidak mampu mempertahankannya daripada haiwan pemangsa dalam air yang paling berbahaya, iaitu buaya dan ikan yu.
Gambar luar biasa yang dikeluarkan Universiti Murdoch menunjukkan seekor ikan sawfish terperangkap dalam genggaman kuat rahang buaya air tawar.
Itu lumrah terjadi kepada spesies-spesies sebegitu yang juga menjadi sasaran ikan-ikan yu jantan, menurut para penyelidik, ketika anak ikan sawfish menerokai hulu sungai bagi tempoh lima tahun pertama dalam hidup mereka sebelum kembali ke lautan sebagai ikan dewasa.
“Bagi anak ikan pada ukuran kira-kira 800 milimeter panjang dengan senjata menggerunkan, seseorang itu akan menganggap bahawa kadar pemangsaan biasa akan rendah,” kata ketua penyelidikan perikanan Universiti itu, David Morgan hari ini.
“Tetapi penghijrahan ke hulu penuh dengan bahaya dan kami mensyaki ia tidak selalunya selamat.”
Dalam meneliti 39 ekor sawfish, yang boleh membesar sehingga enam meter, di sungai Fitzroy, Barat Australia, para penyelidik mendapati 60 peratus mengalami kecederaan akibat serangan buaya dan ikan yu jantan, dengan penemuan haiwan itu telah disiarkan dalam The Scientific Naturalist.
“Parut-parut ini menunjukkan bahawa buaya-buaya air tawar cuba untuk menangkap dan memakan ikan sawfish, tetapi tidak berjaya disebabkan saiz, kemampuan deria dan pertahanan mangsanya,” tambah Morgan lagi. – AFP