Thursday, April 25, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Ikan terubuk masin hasil sentuhan pengusaha suami isteri

    Oleh Nurdiyanah R.

    Penularan wabak COVID sememangnya telah membelenggu dunia dan tidak terkecuali negara kita, sehingga seluruh dunia terpaksa melaksanakan sekatan pergerakan seperti arahan larangan merentas sempadan bagi membendung penularannya.

    Memang tidak dinafikan, sebelum berlakunya arahan larangan sempadan dikuatkuasakan, setiap hujung minggu mahu pun musim cuti persekolahan sudah menjadi kebiasaan masyarakat kita akan membeli-belah di pasar-pasar negara jiran untuk mendapatkan beberapa jenis produk seperti ikan terubuk masin.

    “Namun semua itu pasti ada hikmah di sebaliknya, di mana ia juga sebagai salah satu rahmat Allah SWT untuk memberi peluang kepada anak tempatan untuk terus berani mengembangkan produk-produk jualan dengan sentuhan peribadi seperti produk ikan masin sebegini.

    “Hal ini sekali gus membuktikan masyarakat kita juga mampu menghasilkan produk-produk tersendiri namun apa yang pasti perlu adanya jiwa bersulam semangat bakarih dari semasa ke semasa,” itulah antara kata-kata yang terucap daripada salah seorang pengusaha terubuk masin tempatan, Dayang Siti Nurul Bazilah binti Abdul Rahman, 30, di bawah Zzar Kitchen Enterprise semasa ditemui penulis di kediaman beliau di Perumahan Rumah Kembar, Kampung Rimba, Gadong, baru-baru ini.

    Curahan kemahiran ibu tersayang
    Dengan melaksanakan perusahaan secara sepenuh masa, Dayang Siti Nurul Bazilah bersama suami beliau, Awang Mohamad Zulhilmi bin Sabli sejak penghujung tahun 2020 menumpukan penjualan produk ikan terubuk masin jenis sejuk beku, di samping produk-produk lain seperti variasi sentuhan rempah masakan. Mengimbas kembali detik mula menceburi penghasilan produk ikan terubuk masin ini, Dayang Siti Nurul Bazilah berkongsi sememangnya ia berasal daripada cetusan idea salah seorang sahabat yang menginginkan beliau untuk mencuba menjual produk berkenaan yang mana pada ketika itu beliau hanya mengusahakan produk ikan liking secara kecil-kecilan.

    Awang Mohamad Zulhilmi dan Dayang Siti Nurul Bazilah yang menjalankan perusahaan produk terubuk masin sejuk beku sejak penghujung tahun 2020 lagi.
    Demi mengekalkan tahap kualiti penghasilan produk berkenaan, penyediaan kemudahan jemuran hasil buatan sendiri Awang Mohamad Zulhilmi umpama sebuah sangkar turut memainkan peranan penting untuk mengelak daripada sebarang gangguan seperti lalat dan kucing.
    Berbekalkan ilmu kemahiran yang dipelajari daripada ibu tersayang, pasangan suami isteri ini kini mampu menghasilkan tempahan pelanggan dengan menitikberatkan proses-proses tertentu penuh ketelitian.

    Bermula dari saat itulah, tanpa memikir panjang, beliau bersama suami dengan bantuan kemahiran ibu tersayang yang sememangnya memiliki kepakaran dalam bidang berkenaan terus mencuba menghasilkan ikan terubuk masin dalam anggaran sebanyak 10 kilogram sebagai permulaan dan terus melakukan promosi penjualan kepada pelanggan-pelanggan beliau yang sedia ada.

    “Kini sambutan itu semakin menggalakkan yang bukan hanya daripada pelanggan dari daerah setempat bahkan juga daerah-daerah lain.

    “Dalam tempoh seminggu kami mampu menghasilkan sebanyak 300 kilogram produk ikan terubuk masin bersamaan dengan 600 pek mengikut tempahan para pelanggan,” tambahnya yang turut menyediakan khidmat penghantaran ke rumah-rumah pelanggan di samping menanti mereka mengambil terus sendiri secara langsung mengikut tempoh-tempoh tertentu.

    Ketelitian dalam setiap proses
    Kebiasaannya pasangan suami isteri ini akan menempah ikan-ikan terubuk segar dari salah sebuah syarikat pembekal tempatan yang sememangnya mendapatkannya dari negara-negara jiran seperti Sabah bagi memenuhi stok ikan berikutan rezeki tempahan yang semakin memberangsangkan dari semasa ke semasa.

    Dalam pada itu, Awang Mohamad Zulhilmi menekankan dalam pemilihan ikan-ikan terubuk dari pembekal berkenaan, adalah menjadi keutamaan mereka untuk sentiasa menitikberatkan tahap kesegarannya demi mencapai kepuasan nilai-nilai kualiti sebelum dilakukan proses-proses penghasilan sehingga sampai di tangan para pelanggan nanti.

    “Semestinya dalam mengusahakan bahan-bahan mentah sebegini perlunya melalui proses-proses tertentu dengan penuh ketelitian. Secara umumnya, kami bermula dengan melakukan sesi pembersihan ikan-ikan terubuk terlebih terdahulu sebelum dilakukan proses memasinkan, pengeringan sehingga kepada pembungkusan.

    “Menyentuh mengenai proses memasinkan ikan, kebiasaannya kami lebih selesa menggunakan teknik rendaman air garam kira-kira dalam jangka masa setengah hari atau 12 jam sebelum diteruskan dengan proses pengeringan iaitu menjemur di bawah terik cahaya matahari yang selalunya dilakukan sekitar 9 pagi lagi,” kongsinya lagi.

    Oleh itu, jelas beliau, kepakaran dalam menganggarkan sukatan garam dalam air itu memainkan peranan yang penting untuk menghasilkan produk ikan terubuk yang mengandungi tahap masin yang sederhana sehingga boleh dinikmati oleh semua lapisan masyarakat untuk pelengkap juadah sehari-hari.

    “Adapun tujuan penjemuran itu hanya untuk membuang lebihan air yang terkandung dalam ikan-ikan itu kerana produk ikan terubuk masin yang dihasilkan ini sejenis yang tidak terlalu kering sebelum ia dilakukan proses penyimpanan dalam peti beku setelah dibungkus rapi,” tambahnya.

    Dalam pada itu, demi mengekalkan tahap kualiti penghasilan produk berkenaan, Awang Mohamad Zulhilmi turut berkongsi penyediaan kemudahan jemuran buatan sendiri umpama sebuah sangkar turut memainkan peranan penting untuk mengelak dari sebarang gangguan seperti lalat dan kucing.

    Jika rebah, bangkitlah keranaNya
    Dalam kesempatan itu, Awang Mohamad Zulhilmi juga mengungkapkan kesyukuran menerusi usaha dalam pencarian rezeki ini, satu hal yang menjadi keutamaan mereka antaranya untuk berkongsi rezeki bersama ahli keluarga terdekat, lebih-lebih lagi untuk memberi mereka peluang pekerjaan dan mencari pendapatan sampingan.

    “Yakinlah setiap ujian yang kita tempuhi itu pastinya terselit kemanisan menanti. Saya pernah menempuhi ujian dibuang kerja kerana impak daripada pandemik namun Allah SWT jualah yang Maha Kaya memberi peluang kepada kami sekeluarga menceburi bidang perusahaan ini sehingga ke saat ini. Jika rebah, bangkitlah keranaNya demi mencari nikmat rezeki yang halal di samping insan-insan tersayang,” luahnya tulus.

    Rebutlah peluang bersulam jiwa positif
    Di samping itu, Dayang Siti Nurul Bazilah turut memiliki perancangan untuk mempelbagaikan produk-produk ikan terubuk masin sejuk beku mereka dengan sentuhan masakan resipi istimewa tersendiri pada masa terdekat ini seperti salah satunya ikan terubuk masak tumis berlada.

    “Oleh itu, jangan malu dan takut untuk mencuba sesuatu yang baharu di luar dari zon keselesaan kita dengan berbekalkan kemahiran yang ada dengan sebaik mungkin maka raihlah peluang yang ada di depan mata dengan hati dan jiwa yang positif,” katanya dengan nada kesungguhan di akhir pertemuan bersama penulis yang turut menaruh harapan besar agar suatu hari nanti produk-produk berkenaan mampu menembusi pasaran luar negara.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Presiden Iran rasmi projek hidrokuasa dan pengairan Sri Lanka

    COLOMBO, 24 APRIL — Presiden Iran, Ebrahim Raisi tiba di Sri Lanka hari ini untuk merasmikan projek hidrokuasa dan pengairan yang telah lama tertangguh...