Oleh Raz AS
Ikan Ungah juga dikenali sebagai Siakap Merah di negara jiran, nama saintifiknya Lutjanus argentimaculatus, merupakan spesies ikan daripada keluarga Lutjanidae.
Dalam Bahasa Inggerisnya terutama di Australia, ikan ini dikenali dengan nama Mangrove Jack. Manakala di negara-negara barat yang lain, ia juga dikenali dengan nama-nama seperti Creek Red Bream, The Stuart Evader, Dog Bream, Mangrove Red Snapper, Purple Sea Perch, Purple Sea-Perch, Red Bass, Red Bream, Red Perch, Red Reef Bream, River Roman dan Rock Barramundi.
Taburan ikan Ungah boleh didapati di kawasan Lautan India dan barat Lautan Pasifik dari pesisir Afrika ke Samoa, Australia dan Asia Tenggara.
Warna ikan Ungah boleh berbeza antara satu sama yang lain bergantung pada keadaan perairan dan usianya, ada yang berwarna kejingga-jinggaan, berwarna tembaga, gangsa dan merah gelap. Ikan Ungah yang berusia lebih muda yang ditangkap di kawasan muara selalunya mempunyai warna yang lebih gelap berbanding ikan Ungah yang ditangkap di laut di kawasan terumbu karang.
Seperti ikan-ikan lainnya daripada keluarga Lutjanidae, ikan Ungah mempunyai gigi yang tajam seakan-akan taring pada rahangnya yang digunakan untuk menyerang dan memegang mangsanya. Ikan ini juga sangat agresif dan dapat mendatangkan kecederaan kepada pemancing-pemancing yang kurang waspada mengendalikannya.
Ikan Ungah adalah spesies pemangsa yang nokturnal. Ia mula aktif mencari mangsanya pada waktu malam yang terdiri daripada ikan, Krustasea dan Moluska. Sebagai pemangsa yang suka menyerang hendap, Ungah akan bersembunyi di kawasan-kawasan berstruktur seperti akar-akar bakau, pokok tumbang, tebing berbatu dan lain-lain lagi di mana anak-anak ikan selalunya bersembunyi untuk perlindungan.
Ikan Ungah banyak ditemui di kawasan muara yang mempunyai hutan bakau. Walau bagaimanapun, ikan ini akan berhijrah ke laut lepas terutama ke kawasan-kawasan yang mempunyai terumbu karang setelah ia membesar untuk mengawan.
Spesies ini sangat popular dari segi komersial dan pancingan rekreasi. Ia mempunyai nilai yang tinggi di pasaran kerana dikenali dengan rasanya yang enak. Selain itu ia juga menjadi buruan dan sangat diidamkan oleh ramai pemancing kerana keganasan pecutannya setelah menyambar umpan.
Ramai pemancing yang berputih mata kerana gagal menghalang ikan ini daripada masuk ke dalam struktur disebabkan terleka.






























