Tuesday, December 3, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ikan ungah idaman si kaki pancing

    Oleh Raz AS –

    Siakap merah, kakap merah atau ungah dengan nama saintifiknya lutjanus argentimaculatus, merupakan spesies ikan daripada keluarga lutjanidae.

    Dalam bahasa Inggeris seperti di Australia, ikan ini dikenali sebagai mangrove jack, manakala di barat pula, ia lebih dikenali dengan nama-nama seperti creek red bream, the stuart evader, dog bream, mangrove red snapper, purple sea perch, purple sea-perch, red bass, red bream, red perch, red reef bream, river roman dan rock barramundi.

    Ikan ungah boleh didapati di kawasan Lautan India dan barat Lautan Pasifik dari pesisir Afrika ke Samoa, Australia dan Asia Tenggara.

    Warna ikan ungah berbeza antara satu sama yang lain bergantung pada keadaan perairan dan usianya, ada yang berwarna kejingga-jinggaan, tembaga, gangsa dan merah gelap.

    Ikan ungah yang berusia lebih muda yang ditangkap di kawasan muara selalunya mempunyai warna yang lebih gelap berbanding ikan ungah yang ditangkap di laut di kawasan terumbu karang.

    Ikan ungah banyak ditemui di kawasan muara yang mempunyai hutan bakau. – GAMBAR OLEH JAMES HOLT

    Seperti ikan-ikan lainnya daripada keluarga lutjanidae, ikan ungah mempunyai gigi yang tajam seakan-akan taring yang digunakan untuk menyerang dan memegang mangsanya.

    Ikan ini juga sangat agresif dan boleh mendatangkan kecederaan kepada pemancing yang kurang teliti mengendalikannya.

    Ikan ungah adalah spesies pemangsa yang nokturnal. Ia mula aktif mencari mangsanya pada waktu malam yang diet utamanya terdiri daripada ikan-ikan kecil, krustasea seperti udang dan ketam, serta moluska.

    Sebagai pemangsa yang bersifat oportunis yang suka menyerang hendap mangsanya, ikan ungah akan bersembunyi di kawasan-kawasan berstruktur dan bereba seperti akar-akar bakau, pokok tumbang, tembok batu dan lain-lain lagi, di mana anak-anak ikan selalunya bersembunyi untuk mencari perlindungan.

    Ikan ungah banyak ditemui di kawasan muara yang mempunyai hutan bakau.

    Walau bagaimanapun, ikan ini akan berhijrah ke laut lepas terutama ke kawasan-kawasan yang mempunyai terumbu karang setelah ia membesar untuk mengawan.

    Spesies itu sangat popular dari segi komersial dan pancingan rekreasi.

    Ia mempunyai nilai yang tinggi di pasaran kerana terkenal dengan rasanya yang enak.

    Selain itu, ia juga menjadi buruan yang diidamkan oleh ramai pemancing kerana kepantasan pecutannya setelah menyambar umpan.

    Ramai pemancing berputih mata kerana gagal menghalang ikan ini daripada masuk ke dalam struktur disebabkan terleka.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda