Ikatan Alberto untuk sambung tali sulam ke perambut

Oleh Raz AS

Ikatan Alberto atau Alberto Knot merupakan salah satu teknik ikatan yang sangat popular di kalangan pemancing untuk menghubungkan tali sulam atau braided yang nipis dengan tali perambut, sama ada monofilament atau flourocarbon, yang tebal.

Teknik ikatan ini dicipta oleh Alberto Knie, yang juga dikenali sebagai Crazy Alberto, pada tahun 1993.

Antara kelebihan ikatan Alberto adalah ia boleh dibuat dengan cepat dan pada masa yang sama menjanjikan kekuatan ikatan yang boleh dipercayai pemancing.

Oleh itu ramai kalangan pemancing termasuk penulis sendiri menggunakan ikatan Alberto sebagai alternatif kepada ikatan FG yang sangat popular kerana kekuatannya namun mengambil lebih banyak masa untuk diikat, sekiranya kesuntukan masa atau memerlukan kepantasan, meskipun kekuatannya tidaklah setanding.

Teknik ikatan Alberto hampir sama dengan ikatan Albright namun sedikit berbeza. Demikian itu kadang-kadang ada yang sampai keliru dengan kedua-dua teknik ikatan ini, kerana perbezaannya hanyalah pada teknik lilitannya sahaja.Ia menggunakan prinsip yang sama digunakan oleh ikatan FG, iaitu ‘Chinese finger trap’, yang mana menurut Crazy Alberto apabila ia makin kuat ditarik, makin bertambah kencang ikatannya.

Langkah-langkah untuk membuat ikatan Alberto atau Alberto Knot. – Agensi

Untuk membuat ikatan Alberto sama seperti ikatan Albright pertama sekali lipatkan hujung tali perambut sepanjang beberapa inci untuk membuat lingkaran, kemudian masukkan tali utama kira-kira setengah kaki panjang melalui lingkaran tersebut.

Untuk langkah seterusnya di sinilah perbezaan antara ikatan Alberto dengan ikatan Albright. Lilitkan hujung tali utama tadi ke tali perambut yang telah dilipat sekurang-kurangnya sebanyak tujuh kali. Setelah itu tahan sebahagian tali utama yang dililit tadi menggunakan jari dan lilitkan lagi hujung tali juga sekurang-kurangnya tujuh kali meliliti tali perambut dan lilitan yang telah dibuat tadi.

Kemudian memasukkan hujung tali utama melalui lingkaran di mana hujung tali dimasukkan pada langkah awal sekali. Jika tali mula-mula dimasukkan melalui bahagian depan maka masukkanlah daripada arah bertentangan iaitu melalui bahagian belakang dan begitu jugalah sebaliknya.

Basahkan tali, dan kemudian tarik kedua-dua hujung dan pangkal tali utama dan tali perambut pada masa yang sama perlahan-lahan untuk mengencangkan ikatan. Sebagai langkah terakhir potongkan lebihan tali untuk mengemaskan ikatan.

Sebagai tip, jika anda takut ikatan terlucut kerana banyak memotong lebihan tali atau sengaja memotong pendek agar ikatan lebih kemas dan lebihan tali tidak mengganggu kelancaran tali keluar akibat terkena pada ring joran, anda bolehlah menitikkan superglue pada ikatan tersebut.