Ikatan rapala untuk ikat lure atau fly

Oleh Raz AS

Ikatan Rapala atau Rapala Knot adalah jenis ikatan yang diperkenalkan oleh Rapala, syarikat pembuat alat pancing terkenal dari Finland. Ikatan ini digunakan untuk menghubungkan umpan lure atau fly, terus ke tali utama atau perambut daripada jenis monofilament atau fluorocarbon.

Ikatan ini akan memberikan lure kebebasan untuk bergerak dan beraksi secara lebih semula jadi mengikut sesuatu rekaan lure tersebut ketika proses retrieve dilakukan.

Meskipun sesetengah pemancing lebih selesa menggunakan klip bagi tujuan yang sama, di samping lebih mudah dan cepat untuk mengganti-ganti lure, namun sesetengah lure terutamanya yang bersaiz kecil atau mikro boleh terjejas aksi renangannya akibat kehadiran klip tersebut, lebih-lebih lagi jika klip yang digunakan terlalu besar atau berat.

Silap-silap perkiraan, lure yang digunakan tidak dapat menghasilkan aksi wobbling seperti yang diharapkan atau lure permukaan tiba-tiba menjadi lure tenggelam.

Tambahan lagi klip juga boleh menjadi titik lemah pada senjata anda, di mana semakin kecil saiz klip yang digunakan semakin tinggi risikonya untuk patah atau ‘langkang’. Oleh yang demikian, kadang-kadang adalah lebih baik untuk menghubungkan terus lure anda ke tali pancing tanpa menggunakan peralatan terminal seperti klip.

Langkah-langkah mengikat ikatan Rapala. – Agensi

Langkah-langkah mengikat ikatan Rapala tidak begitu rumit dan boleh dihasilkan dengan pantas, ikatan ini hanya memerlukan sedikit latihan untuk dikuasai sepenuhnya.

Pertama sekali buatkan simpulan biasa atau overhand knot dan dibiarkan longgar (tidak ditarik habis) dengan meninggalkan baki hujung tali sekurang-kurangnya 3 inci.

Kemudian, hujung tali tersebut dimasukkan ke dalam ring lure yang hendak diikat dan seterusnya dimasukkan ke dalam lingkaran yang terhasil daripada simpulan longgar tadi.

Langkah seterusnya adalah untuk melilitkan hujung tali tersebut ke pangkal tali kira-kira sebanyak 3-4 lilitan mengikut ketebalan tali yang digunakan. Setelah itu, masukkan hujung tali yang telah dililitkan sekali lagi ke dalam lingkaran simpulan tadi.

Selepas itu, masukkan hujung tali tersebut ke dalam lingkaran yang baru sahaja terhasil (rujuk gambar). Sebelum ikatan diketatkan, basahkan tali terlebih dahulu, tarik hujung tali dan tali pohon perlahan-lahan silih berganti sehingga tegang. Langkah terakhir potong lebihan tali untuk mengemaskan ikatan.

Sebagai tips, sekiranya percubaan awal singkat rasanya, hujung tali bolehlah dibiarkan lebih panjang agar lebih mudah diikat sehingga anda lebih mahir, semakin panjang lebihan tali yang dipotong akan membazirkan perambut dan ini bermakna lebih kerap lagi anda harus mengikat perambut baharu. Pastikan juga lingkaran yang terhasil setelah ikatan siap dibuat tidak terlalu besar sehingga bibir atau mata kail lure mudah tersangkut padanya, kira-kira sebesar bulatan batang pen pun sudah cukup.