IKEA cawangan pertama India dibuka

HYDERABAD, India, 9 Ogos – Alunan lagu dan sorakan hebat menyambut beratus-ratus pelanggan selepas syarikat perabot gergasi IKEA membuka cawangan pertamanya di India hari ini, lima tahun setelah mendapat persetujuan untuk melabur dalam sektor runcit tunggal jenama negara itu.

Kedai IKEA cawangan pertama di Hyderabad yang terletak di selatan India, sebuah kawasan hab teknologi maklumat India itu memiliki keluasan sekitar 13 ekar.

Ketua Pegawai Eksekutif IKEA, Jesper Brodin berkata penglibatan syarikat itu dengan India bermula lebih tiga dekad lalu dalam sumber produk.

“Kami mempunyai komitmen jangka panjang ke India, yang merupakan pasaran penting bagi kami,” agensi berita Press Trust of India memetik Brodin sebagai berkata.

Para pelanggan ketika membeli barangan di kedai IKEA baharu di Hyderabad, kelmairn. Syarikat perabot gergasi IKEA telah membuka cawangan pertamanya di India setelah mendapat persetujuan untuk melabur dalam sektor runcit tunggal jenama negara itu. – AFP

Penempatan pelbagai produk daripada pelbagai syarikat telah memberikan satu kelebihan di India. Kebanyakan kedai perabot di India yang terdiri daripada perniagaan kecil dan sederhana tidak begitu teratur. Merancang untuk membuka 25 kedai di India pada tahun 2025, syarikat itu berkata ia kini menggaji 950 pekerja dan merancang untuk menyediakan 15,000 peluang pekerjaan tatkala ia sedang memperluaskan operasinya.

Ekonomi India berkembang sekitar tujuh peratus setahun. Sektor runcit menyediakan jumlah pekerjaan kedua tertinggi selepas pertanian.

Tetapi para peniaga kecil bimbang bahawa kedai-kedai runcit besar yang dikendalikan oleh syarikat-syarikat multinasional akan membawa kepada penutupan puluhan ribu kedai ‘mom-and-pop’ di seluruh negara. – AP