Tuesday, April 22, 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    IKEA M’sia perkenalkan kedai dalam talian

    BATU KAWAN, 12 Sept – Gergasi perabot Sweden, IKEA, merancang untuk memperkenalkan kedai dalam talian di Malaysia pada tahun depan bagi memenuhi peningkatan permintaan untuk produknya.

    Pengarah Urusan IKEA Asia Tenggara, Christian Rojkjaer berkata, laman web e-dagang akan memudahkan pelanggan untuk mengakses dan membeli pelbagai produk syarikat.

    “Kami merancang untuk melancarkan perkhidmatan e-dagang di Singapura dalam tempoh dua minggu, dan memperkenalkannya di Malaysia pada tahun depan,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pecah tanah untuk gedung IKEA Pulau Pinang oleh Ketua Menteri, Lim Guan Eng di sini hari ini.

    Christian Rojkjaer (kanan) bersama Pengurus Gedung IKEA Batu Kawan A Pathmalingam bergambar bersama berlatarbelakangkan tapak pembinaan IKEA selepas majlis pecah tanah pembinaan gedung IKEA Batu Kawan yang pertama di Utara Malaysia, di Bandar Cassia dengan keluasan 39,979 meter persegi akan dibuka pada 2019. – Bernama

    Dijadualkan untuk pembukaan pada suku pertama 2019, IKEA Pulau Pinang merupakan gedung keempat syarikat itu di Malaysia, selepas Damansara dan Cheras di Selangor serta Tebrau di Johor Bahru.

    “Kami telah melabur kira-kira RM600 juta untuk IKEA Pulau Pinang bagi memberikan pengalaman terbaik kepada pelawat-pelawat kami.

    “IKEA Damansara menerima kira-kira enam juta pengunjung setiap tahun. Kami benar-benar berharap bahawa IKEA Pulau Pinang akan dapat menarik lebih ramai pengunjung sebaik sahaja ia dibuka. Gedung itu akan mewujudkan kira-kira 450 peluang pekerjaan dan pelbagai peluang perniagaan lain untuk para pembekal,” kata Rojkjaer. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda