Friday, April 19, 2024
24 C
Brunei

    -

    IKHLAS hulur sumbangan kepada OKU

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 FEB – Para pegawai kanan kerajaan yang mengikuti Program Pembangunan Eksekutif bagi Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan (EDPSGO) yang ke-29 hari ini menganjurkan majlis penyerahan sumbangan galakan kepada golongan orang kelainan upaya (OKU) dan juga sijil penghargaan kepada pihak berkepentingan, termasuk agensi-agensi kerajaan dan bukan kerajaan, serta para majikan dan penaja bagi projek IKHLAS yang diungkayahkan oleh peserta program ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat di majlis yang diadakan di The Core, Universiti Brunei Darussalam (UBD) ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Dr Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah.

    Projek IKHLAS ini merupakan satu projek bantuan kemasyarakatan yang dikelolakan oleh peserta EDPSGO ke-29 dengan tujuan membantu golongan OKU yang berkebolehan untuk diambil bekerja di restoran-restoran di Negara Brunei Darussalam. Projek ini telah melibatkan beberapa agensi kerajaan seperti Jabatan Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan dan Manpower Planning and Employment Council (MPEC), serta bukan kerajaan MKOKU dan Brunei Food and Beverage Association (BFBA) sebagai pembuka jalan bagi peluang kerjasama yang lebih luas lagi. Sebanyak empat restoran telah menyertai program ini iaitu SCR Xpress, Sate House Restaurant, Ar Ruhma Resturant & Catering dan Zaitoon Biryani and Grills.

    Sejak projek ini dijalankan pada awal Februari, seramai 12 orang individu golongan OKU lepasan program Pra-vokasional di bawah Jabatan Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan telah ikut serta dalam program ini. Mereka telah berdaftar dengan MPEC dan Majlis Kesejahteraan Orang Kelainan Upaya (MKOKU), tetapi belum mendapat pekerjaan.

    Tujuan lain Projek IKHLAS ini diadakan adalah untuk menghindarkan masyarakat golongan OKU ini daripada terabai dari segi kesejahteraan mereka dan juga dapat memperkasa golongan tersebut supaya mampu berdikari walaupun dengan keupayaan yang terhad.

    Peserta EDPSGO ke-29 berharap dapat membantu seberapa ramai individu OKU di negara ini dan berharap ianya akan dapat diteruskan dan dikembangkan. Projek ini juga diharap dapat menjurus kepada lebih banyak peluang untuk diterokai di dalam industri lain untuk golongan OKU seperti perkhidmatan perhotelan dan merapatkan rangkaian di antara pihak-pihak berkepentingan.

    Sumbangan galakan bagi calon-calon berupa alat keperluan kerja bagi projek ini telah ditaja oleh Datastream Digital Sdn Bhd, Progresif Sdn Bhd dan imagine Sdn Bhd, Borneo United dan UBD Corp.

    Turut hadir di majlis tersebut ialah Dato Paduka Haji Mohd Alimin bin Haji Abdul Wahab, Yang Di-Pertua MKOKU, Awang Eddy Fazlin bin Haji Amdan, ketua unit pendidikan khas, Jabatan Pendidikan Khas, dan pegawai kanan dari MPEC dan Universiti Teknologi Brunei (UTB).

    Dr Siti Norkhalbi bergambar ramai bersama penerima sumbangan galakan yang terdiri daripada golongan OKU pada majlis berkenaan.
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Polis Australia selesaikan misteri kokain hanyut

    SYDNEY, 18 APRIL - Polis Australia telah menahan seorang lelaki didakwa menjadi dalang di sebalik komplot penyeludupan dadah yang gagal, mengakibatkan batu-bata kokain misteri...