Wednesday, October 16, 2024
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ikhlaslah didik anak bangsa

    Oleh Siti Nur Wasimah S. & Sim Y.H.

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Sept – Para penerima anugerah Hari Guru pada Majlis Sambutan Hari Guru ke-28 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas tahun ini menekankan keperluan para guru untuk memberikan pengajaran dan pembelajaran berkualiti tinggi kepada anak didik mereka.

    Penerima anugerah Guru Berjasa, Dato Seri Setia Haji Kasim bin Haji Lamat dalam temu bual bersama wartawan Media Permata, menitipkan nasihat kepada guru-guru agar sentiasa mengawal penggunaan teknologi dan hanya menggunakannya untuk mendapat maklumat betul dan tepat agar para pelajar mendapat pendidikan berkualiti serta melahirkan pelajar yang berakhlak dan berakidah.

    Beliau sehingga ke hari ini memegang prinsip berkhidmat demi mendapat rahmat dan reda Allah SWT dan bukan berkhidmat semata-mata mengejar nikmat dunia.

    Tema sambutan tahun ini, ‘Guru Dedikasi Pendidikan Cemerlang’ jelas beliau lagi amatlah sesuai dan sangat disambut baik kerana ia menekankan kepada sifat ikhlas dalam menyampaikan ilmu.

    Beliau turut menyarankan guru-guru yang sudah bersara terus menyumbangkan ilmu mereka kepada masyarakat agar dapat dimanfaatkan sebagai ibadah dan saham pahala di akhirat kelak.

    Penerima Anugerah Guru Cemerlang, Pengiran Haji Mohd Wahab.
    Penerima Anugerah Penghargaan Guru, Dayang Farizan bergambar bersama suaminya.

    Sementara itu, seorang lagi penerima Anugerah Guru Berjasa, Pengiran Datin Paduka Hajah Hairani berkata menjadi guru perlulah mempunyai etika kerja yang baik dalam menjalankan tugas dengan sebaik-baiknya dan sentiasa mempunyai sikap dedikasi yang begitu mendalam.

    “Kita haruslah mempunyai semangat yang tinggi untuk mengatasi apa saja cabaran lebih-lebih lagi dalam dunia yang kini berubah menjadi lebih moden kerana pelajar-pelajar semakin mudah untuk mendapatkan maklumat melalui sumber-sumber internet,” ujar beliau semasa temu bual tersebut.

    Beliau turut menasihatkan agar guru-guru tidak jemu mendidik dan meraih ilmu untuk diri mereka sendiri dalam usaha mempertingkatkan dan memperkembangkan lagi pelajar-pelajar masa kini.

    Pengiran Haji Mohd Wahab bin Pengiran Haji Abdullah, penerima Anugerah Guru Cemerlang, semasa ditemui berkata, beliau merupakan seorang guru dari Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) yang mengajar mata pelajaran Seni Kulinari yang mula berkhidmat pada tahun 1993.

    Beliau begitu teruja dan tidak menyangka menerima anugerah itu serta menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia kerana anugerah ini merupakan tanda kejayaan yang amat berharga bagi beliau.

    Sebagai seorang guru, jelasnya lagi, sifat ikhlas adalah sangat penting dalam melakukan apa-apa, lebih-lebih lagi apabila mendidik para pelajar yang kini menjadi peranan penting dalam pembangunan negara.

    “Ia adalah amat penting untuk mempunyai keikhlasan dalam diri sendiri untuk menjalankan tugas yang tidak mengira waktu dan tempat kerana seorang guru ini menanggung pengorbanan yang besar dalam memajukan bidang pendidikan,” tambahnya.

    Beliau juga menasihatkan kepada guru-guru yang lain akan sentiasa bersikap positif dan memandang ke hadapan di samping berusaha gigih untuk meningkatkan lagi kemahiran masing-masing serta sentiasa berusaha untuk menyumbang bakti kepada negara.

    Manakala seorang lagi penerima Anugerah Penghargaan Guru, Dayang Farizan binti Haji Rosli yang merupakan guru sains daripada Sekolah Rendah Batu Marang berkata, beliau teruja dan agak terkejut apabila dimaklumkan menerima anugerah itu selepas 12 tahun berkhidmat sebagai guru.

    “Anugerah ini merupakan penyuntik semangat kepada saya untuk terus melahirkan generasi pelajar yang cemerlang,” katanya.

    Beliau dalam temu bual itu turut berharap agar dapat diberikan peluang untuk melanjutkan pendidikannya ke peringkat sarjana muda dalam memperkembangkan lagi kerjayanya pada masa akan datang.

    Beliau juga melahirkan penghargaan kepada ibu bapanya yang memberikan pendidikan daripada awal lagi dan sokongan serta dorongan mereka membolehkan beliau mencapai kejayaan hari ini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda