Saturday, October 5, 2024
27.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Iklan alkohol pada harta milik bandar diharamkan

    NEW YORK, 1 Mei – Datuk Bandar New York, Bill de Blasio mengeluarkan perintah eksekutif semalam, mengharamkan iklan alkohol dari semua harta milik bandar raya itu dengan memberi alasan kesihatan penduduk.

    Larangan berkenaan merangkumi iklan di perhentian bas, kiosk akhbar dan Wi-Fi dan ia turut membabitkan pengharaman serta merta ke atas iklan baharu tetapi pada masa sama, membenarkan iklan sedia ada beroperasi sehingga tamat tempoh kontrak.

    “Tidak dapat dinafikan lagi bahawa terlalu ramai penduduk New York berdepan masalah penyalahgunaan bahan tertentu yang serius, antaranya ketagihan alkohol. “Perintah ini mengharamkan iklan alkohol dari semua harta milik bandar dan ia membuktikan komitmen serta pendirian tegas kerajaan dalam melindungi kesihatan penduduk New York,” kata datuk bandar Demokrat itu dalam satu kenyataan.

    Menurut kenyataan itu, hampir 2,000 kes kematian berkaitan alkohol direkodkan di New York pada tahun 2016 dan 110,000 kes rawatan kecemasan membabitkan penggunaan bahan berkenaan.

    Kenyataan turut menyebut beberapa kawasan yang paling teruk berdepan masalah ketagihan alkohol, dengan East Harlem mencatatkan kes rawatan berkaitan alkohol lima kali ganda lebih tinggi berbanding Upper East Side.

    Memetik kajian pada 2017 sebagai rujukan, pejabat datuk bandar berkata, promosi alkohol dalam bentuk iklan boleh menjadi punca mempengaruhi pembeli dan meningkatkan jumlah pengambilan bahan itu.

    “Pendedahan kepada iklan alkohol di luar dikaitkan dengan masalah ketagihan dan niat untuk menggunakan bahan itu dalam jumlah tinggi,” kata kajian dari Akademi Perubatan New York, salah sebuah jabatan dari Institut Kesihatan Nasional. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda