SINGAPURA, 20 Sept – Singapura telah menggantungkan lesen sebuah agensi menggaji pembantu rumah dan mengancam untuk mendakwa syarikat itu atas kesalahan iklan online ‘tidak bermaruah’ yang menawarkan pembantu rumah Indonesia untuk dijual, selepas iklan itu mencetuskan kemarahan awam.
Singapura menempatkan kira-kira 250,000 pembantu rumah, sebahagian besarnya dari negara miskin Indonesia dan Filipina, yang menjadikan negara kecil tetapi kaya itu untuk mendapatkan gaji lebih tinggi berbanding di negara asal mereka.
Syarat bagi pembantu rumah Indonesia di Singapura adalah sangat ketat berbanding di tempat lain, seperti Malaysia atau di sebahagian negara Timur Tengah, namun iklan online di Carousell telah mencetuskan ketegangan mengenai isu itu.
Iklan itu di bawah nama ‘maid.recruitment’ dilaporkan menawarkan perkidmatan beberapa pembantu rumah dari Indonesia, sementara beberapa iklan lain menunjukkan pembantu ditanda ‘sudah dijual’.
Pos itu telah mencetuskan kemarahan di Indonesia, dengan NGO Migrant Care mengutuknya sebagai ‘tidak adil dan tidak bermaruah’, iklan itu kemudian dipadamkan dari laman itu.
Kementerian Buruh Singapura berkata dalam satu kenyataannya bahawa lesen LLP agensi SRC Recruitment telah digantung, bermakna ia tidak lagi dapat menempatkan pembantu rumah dengan majikan dan pihak berkuasa sedang membuat siasatan ke atas mereka dengan kemungkinan memfailkan dakwaan.
“Kami sangat mengecam tindakan mengiklankan pekerja domestik asing dengan cara tidak bermaruah,” kata pesuruhjaya bagi agensi-agensi pengambilan kerja, Kevin Teoh.
“Mengiklankan pembantu rumah asing di paltform Internet bermakna memperdagangkan barangan, ia benar-benar tidak sesuai dan tidak dapat diterima,” katanya, dengan menambah ia merupakan satu kesalahan.
Kementerian itu kemudian menyatakan bahawa Carousell, yang beroperasi di beberapa buah negara Asia, mengeluarkan pos iklan itu dengan serta-merta selepas ia dimaklumkan mengenainya pada 14 September. – AFP