Ikrar jadi rakan kongsi baik, saling memahami

Oleh Sim Y. H.
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 JAN – Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador-at-Large, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, hari ini, berkenan berangkat menyempurnakan pelancaran Tahun Pelancongan 2020 Negara Brunei Darussalam-Republik Rakyat China yang berlangsung di Pusat Kesenian, Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS).

Mengiringi YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna ialah Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz.

Hadir pada majlis itu ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong; Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin; Timbalan Menteri Kebudayaan dan Pelancongan, Republik Rakyat China, Tuan Yang Terutama Zhang Xu dan Duta Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama, Yu Hong.

Pada majlis itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam perutusan tahniah Baginda kepada Presiden Republik Rakyat China, Tuan Yang Terutama Xi Jinping bersempena Tahun Pelancongan Negara Brunei Darussalam-Republik Rakyat China yang dibacakan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali menyatakan bahawa Tahun Pelancongan Brunei-China merupakan peluang yang baharu bagi kedua-dua buah negara untuk mengukuhkan lagi hubungan persahabatan yang erat dan sekian lama terjalin berasaskan kepercayaan bersama, hormat-menghormati dan persefahaman.

Baginda Sultan dalam perutusan Baginda menyatakan bahawa sejak penubuhan hubungan diplomatik pada 1991, hubungan dua hala yang cemerlang di antara kedua-dua buah negara terus diperkukuhkan dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, kebudayaan, pendidikan dan pelancongan.

YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna berkenan berangkat menyempurnakan pelancaran Tahun Pelancongan 2020 Brunei-China di Pusat Kesenian, JIS.
YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna dan YAM Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz berkenan dijunjung bergambar ramai pada majlis pelancaran Tahun Pelancongan 2020 Negara Brunei Darussalam-Republik Rakyat China.
KIRI: Pelancaran Tahun Pelancongan Brunei-China turut diserikan dengan pelbagai persembahan kebudayaan.

Kedua-dua buah negara juga merupakan rakan kongsi kerjasama strategik yang secara aktif bekerjasama dan meneroka bidang-bidang baharu berkepentingan bersama. Baginda dalam perutusan berkenaan menyatakan bahawa pelancongan merupakan sektor yang penting dalam usaha Brunei untuk mempelbagaikan ekonomi negara dan China merupakan pasaran pelancongan yang bernilai bagi Brunei di mana ia terus dipertingkatkan menerusi bertambahnya kesalinghubungan dengan pelbagai bandar raya di seluruh China.

Pada masa ini, jelas Yang Berhormat Dato dalam ucapannya pula menjelaskan, kita menyaksikan kesalinghubungan di antara Brunei dan China terus meningkat dengan bertambahnya penerbangan ke Shanghai, Hong Kong, Changsa, Nanning, Kuming, Hanhgzhou, Haikou dan Beijing.

Perkara itu, ulasnya lagi, mencerminkan sokongan untuk mengukuhkan lagi pembangunan rangkaian yang dibina atas asas hubungan dua hala yang kuat di antara kedua-dua buah negara menerusi dedikasi serta usaha bersama.

Sementara itu, TYT Zhang Xu ketika membaca perutusan TYT Xi Jinping bersempena pelancaran Tahun Pelancongan Brunei-China, menyatakan bahawa Brunei dan China menikmati hubungan kebudayaan dan sejarah yang amat dalam serta merupakan jiran yang erat, sahabat dan rakan kongsi yang saling menghormati di antara satu sama lain. TYT Xi dalam perutusannya lagi menyatakan bahawa dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, beliau dan Baginda Sultan telah bertukar-tukar lawatan serta bersetuju untuk meningkatkan lagi hubungan China-Brunei ke tahap kerjasama strategik di mana kedua-dua buah negara berikrar menjadi rakan kongsi yang baik iaitu saling percaya dalam politik, berkepentingan bersama dalam ekonomi, saling memahami di antara warga kedua-dua buah negara dan pertukaran kebudayaan serta saling tolong-menolong dalam hal ehwal pelbagai hala.

TYT Zhang dalam ucapannya pula menyatakan bahawa pemimpin kedua-dua buah negara menekankan pentingnya hubungan persahabatan di antara Brunei dan China serta amat mengharapkan pertukaran, kerjasama dan hubungan persahabatan itu akan terus ditingkatkan dalam tahun-tahun yang akan datang.

Sementara itu, PYT Yu Hong dalam ucapannya pula menyatakan hubungan China-Brunei telah menyaksikan perkembangan yang pesat dalam beberapa tahun kebelakangan ini di mana ia menyaksikan pertukaran peringkat tinggi yang kerap, kerjasama perdagangan dan ekonomi yang dalam, pertukaran kebudayaan serta interaksi di antara warga kedua-dua buah negara yang semakin kukuh.

Beliau mendedahkan bahawa pada 2019, sebanyak 10,000 pelancong Brunei telah melawat China di mana ia menunjukkan peningkatan sebanyak 19 peratus daripada 2018 dan yakin bahawa Tahun Pelancongan Brunei-China akan meningkatkan lagi kesefahaman di antara warga kedua-dua buah negara serta membuka peluang untuk mengukuhkan kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang.

YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna kemudian berkenan menyempurnakan pelancaran Tahun Pelancongan Brunei-China. Majlis diserikan dengan pelbagai persembahan kebudayaan daripada kedua-dua buah negara. Pelancaran tahun pelancongan berkenaan menandakan bermulanya acara setahun dalam kerjasama pelancongan di antara Brunei dan China.