Ikrar komitmen terhadap kebajikan negara

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 FEB – Dewan Perniagaan Tionghua Bandar Seri Begawan (BSB) terus berikrar untuk menyokong dan menekankan komitmen dalam menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, kebajikan dan kestabilan sosial negara.

Bertepatan dengan tema Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-36, Menjayakan Wawasan Negara, Dewan Perniagaan Tionghua BSB akan terus memainkan peranan dalam meningkatkan kerjasama dan pertukaran maklumat antara sektor swasta khususnya antara perniagaan-perniagaan tempatan dan pihak berkuasa.

Menerusi kerjasama yang erat dan kukuh itu, kedua-dua belah pihak dapat bersama-sama menangani segala cabaran yang datang, jelas Presiden Dewan Perniagaan Tionghua BSB, Lim Tiong Han @ Lim Peh Beng ketika berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Dewan Perniagaan Tionghua BSB yang berlangsung di Manggis, kelmarin.

Hadir selaku tetamu kehormat di majlis berkenaan ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin serta isteri, Datin Hajah Norhayana Janis binti Abdullah Lim.

Turut hadir pada majlis itu ialah Duta Besar Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Yu Hong; Yang Dimuliakan Pehin Kapitan Lela Diraja Dato Paduka Goh King Chin; ahli-ahli Jawatankuasa Tadbir Tertinggi Dewan Perniagaan Tionghua BSB serta para jemputan khas.

Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan menerima cenderahati yang disampaikan oleh Dato Jack Ting di Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Dewan Perniagaan Tionghua, Bandar Seri Begawan yang berlangsung di Manggis, kelmarin.
Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan dan isteri serta tetamu lainnya ketika menggaul ‘Yee Sang’ semasa Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Dewan Perniagaan Tionghua BSB, kelmarin.

Dalam ucapannya lagi, Lim Tiong Han berkata bahawa persatuan itu akan terus memainkan peranan aktif dalam melaksanakan kerja-kerja kebajikan dan baru-baru ini telah melancarkan Kempen Kutipan Sumbangan bagi Mangsa Kejadian Kebakaran di Kampong Ayer dengan meletakkan 30 buah peti sumbangan derma di pasar-pasar raya, pusat membeli-belah dan restoran di sekitar Daerah Brunei dan Muara di mana kempen itu akan berakhir pada 29 Februari nanti.

Beliau menyatakan harapan agar orang ramai dan ahli-ahli dewan perniagaan dapat memberikan sokongan terhadap kempen berkenaan serta membantu mangsa kejadian untuk membina semula kediaman mereka. Menyentuh mengenai sokongan bagi pertumbuhan perniagaan tempatan, beliau berkata bahawa Dewan Perniagaan Tionghua BSB telah mengemaskinikan laman sesawang mereka dengan matlamat utama untuk berkongsi maklumat serta menjadi platform publisiti bagi ahli-ahli mereka dan sektor swasta.

Oleh itu, beliau mengalu-alukan ahli-ahli dewan perniagaan untuk mengemaskinikan maklumat mengenai perniagaan masing-masing supaya pihaknya dapat meningkatkan lagi perisian laman sesawang berkenaan serta membolehkan mereka untuk meneroka peluang-peluang perniagaan serta kerjasama menerusi laman sesawang berkenaan.

Di samping itu, dewan perniagaan berkenaan juga terus memberikan penekanan kepada pembangunan pendidikan golongan belia dan pelajar yang kurang bernasib baik menerusi tabung pendidikan dewan berkenaan.

Menerusi usaha itu, ia diharapkan akan dapat membantu golongan belia cemerlang yang kurang bernasib baik untuk melanjutkan pengajian mereka serta menyumbang kepada pembangunan negara.