KUCHING, 17 Julai – Pesuruhjaya Polis Sarawak yang baharu Datuk Amer Awal hari ini berikrar akan melipatgandakan aktiviti pencegahan untuk menurunkan kadar jenayah di negeri ini.
Beliau berkata perkara itu akan dilaksanakan seiring dengan usaha yang telah dijalankan oleh bekas Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mazlan Mansor yang akan bertukar ke Selangor sebagai Ketua Polis negeri.
“Tumpuan utama saya ialah bagi menurunkan kadar jenayah dengan melipatgandakan aktiviti pencegahan. Saya juga akan memastikan kes-kes yang dibawa ke mahkamah berhasil dengan pertuduhan ke atas pelakunya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Pesuruhjaya Polis dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Kontinjen Sarawak di Mes Pegawai Kanan, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak, di sini hari ini.
Serah terima tugas antara Amer dan Mazlan disaksikan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh.

Mengulas lanjut, Amer berkata sebagai Pesuruhjaya Polis Sarawak yang baharu beliau akan turut memberi tumpuan kepada kes-kes menarik perhatian seperti buli dalam kalangan pelajar sekolah.
Katanya kes buli dalam kalangan pelajar sekolah perlu dibendung dari peringkat awal kerana perbuatan tersebut boleh menyebabkan mangsa mengalami cedera parah dan juga kematian.
Sementara itu, Mazlan yang berkhidmat lebih setahun di Sarawak, berkata secara umum beliau berpuas hati dengan segala yang direncanakan sepanjang perkhidmatannya dan telah melawat ke semua 28 daerah polis di seluruh negeri untuk memahami masalah serta keperluan anggota.
Dalam pada itu Mohmad berkata pucuk pimpinan polis membuat keputusan tepat apabila memilih Amer untuk menggantikan Mazlan kerana kedua-dua pegawai tersebut berkaliber serta mempunyai banyak pengalaman dalam tugas kepolisan.
“Pertukaran jawatan ini tidak memberikan satu kesan yang tidak baik ke atas kesejahteraan dan keamanan Sarawak, sebaliknya bakal pengganti (Amer) seorang yang berkelayakan, berpengalaman, bertanggungjawab serta berintegriti dalam menentukan negeri ini dalam keadaan selamat,” katanya. – Bernama