Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 SEPT – Dari seawal penaiktarafan dan pengiktirafan Universiti Teknologi Brunei (UTB) sebagai sebuah universiti, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr) Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Pro-Canselor UTB, telah memainkan peranan yang sangat penting dalam menyokong pembangunan dan perkembangan UTB sebagai peneraju utama dalam pendidikan dalam bidang kejuruteraan, perdagangan, sains dan teknologi.
Kepimpinan Duli Yang Teramat Mulia telah dimanifestasikan pada tahun 2013 dengan pengisytiharan Duli Yang Teramat Mulia sebagai Pro-Canselor UTB, yang menunjukkan kepercayaan yang besar daripada kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam terhadap kepimpinan Duli yang Teramat Mulia yang prihatin dengan perkembangan UTB.
Perkara berkenaan dikongsikan oleh Naib Canselor UTB, Datin Paduka Profesor Dr Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman semasa menyembahkan Petikan Penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Inovasi Teknologi kehadapan majlis Duli Yang Teramat Mulia bersempena Majlis Konvokesyen UTB, pagi tadi.
“Pengiktirafan ini juga sejajar dengan peranan Duli Yang Teramat Mulia sebagai Penaung Diraja bagi Brunei ICT Awards (BICTA) yang diadakan setiap tahun. DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota adalah juga penaung bagi Anugerah Creative, Innovative Product and Technological Advancement (CIPTA) yang dianjurkan oleh UTB dengan kerjasama Brunei LNG Sdn Bhd yang diadakan setiap dua tahun sejak 2005,” jelas beliau.
Selain itu, Datin Paduka Profesor Dr Hajah Zohrah turut mengongsikan, setelah pengisytiharan sebagai Pro-Canselor UTB, Duli Yang Teramat Mulia telah berangkat melancarkan pesta konvo buat pertama kali pada 30 September 2014 dan tahun-tahun berikutnya.
“Pesta konvo merupakan acara tahunan yang penting bagi seluruh warga UTB amnya dan para graduan UTB khasnya. Melalui peranan ini, Duli Yang Teramat Mulia telah memberikan motivasi dan sokongan kepada para graduan dengan sama-sama meraikan pencapaian mereka sekali gus memberi inspirasi kepada generasi muda untuk mengejar pendidikan tinggi dalam bidang teknologi.
“Bersesuaian dengan identiti UTB sebagai universiti teknologi di negara ini, tema-tema pesta konvo lazimnya adalah menjurus ke arah pembangunan dan perkembangan bidang teknologi. Sebagai contoh, tema Pesta Konvo UTB 2023 adalah ‘Saya adalah Kecerdasan Buatan dan Pembelajaran Mesin: Penentu Masa Depan’,” hurainya lanjut.
Dalam pada itu, beliau turut mengongsikan bahawa kepimpinan Duli Yang Teramat Mulia terserlah dengan keterlibatan dalam acara-acara yang melibatkan teknologi dan inovasi seperti keberangkatan untuk melancarkan jaringan 3G yang pertama di Negara Brunei Darussalam pada 2000, berangkat untuk menyaksikan upacara penandatanganan perjanjian antara IBM Brunel World Trade Corporation dan Syabas Technologies pada 2001, berangkat untuk melancarkan The 2nd Annual Asia Pacific e-Government Forum pada 2009, berangkat merasmikan Makmal Tenaga Seria pada 2021 dan menyempurnakan
Anugerah CIPTA dengan tema ‘Inovasi untuk Matlamat Pembangunan Mampan’ pada 2023.
“Sehubungan itu, sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan Duli Yang Teramat Mulia sebagai pemimpin yang sentiasa progresif dan dinamik serta prihatin dengan perubahan semasa terutama sekali dalam pembangunan dan perkembangan bidang inovasi dan teknologi di Negara Brunei Darussalam, selayaknya Duli Yang Teramat Mulia diberikan sanjungan dan pengiktirafan yang setinggi-tingginya,” tambah beliau.
