Iktiraf perkara ASCC disepakati

CHIANG MAI, Thailand, 19 Mei – Brunei Darussalam, bersama negara-negara anggota ASEAN yang lain, menyatakan sokongan terhadap Thailand selaku pengerusi ASEAN dan bidang-bidang keutamaan Majlis Tonggak Komuniti Sosiobudaya (ASCC) bagi 2019 di bawah tema Advancing Partnership for Sustainability.

Ini termasuk menggalakkan tindakan berorientasikan masa depan untuk keselamatan manusia, hubungan people-to-people dan perkongsian, dan menggalakkan kemapanan sosiobudaya di rantau ini.

“Negara Brunei Darussalam mengiktiraf kepentingan bidang-bidang keutamaan Thailand, yang amat bersesuaian dengan hala tuju ASEAN dalam apa jua yang hendak dicapai, mestilah mampan dan bersifat inklusif, dalam menjamin tiada sesiapa yang ketinggalan dan sentiasa bersedia untuk masa depan.

“Kita juga harus merangkul dan memanfaatkan cabaran yang kita hadapi akibat globalisasi dan kemajuan teknologi, khususnya Revolusi Perindustrian 4.0, dengan semangat berorientasikan rakyat, semangat kerakyatan.”

Di samping itu, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B)Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin seterusnya menekankan mengenai penyediaan pemahaman yang lebih mendalam terhadap kepelbagaian budaya dan peranan penting budaya dalam membentuk dan memupuk keamanan.

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan (kiri – atas) bergambar ramai bersama menteri-menteri ASEAN.

Beliau juga berharap Study Proposal on Fostering Greater Understanding, Tolerance and a Sense of Regional Agendas among the Peoples of ASEAN akan menghasilkan impak yang boleh bertahan di masa-masa akan datang.

Yang Berhormat Dato menekankan perkara ini semasa Mesyuarat Majlis ASCC ke-21 yang berlangsung di Chiang Mai, Thailand pada 17 Mei lalu.

Semasa mesyuarat itu, beliau juga menekankan kepentingan untuk menyokong tahun 2019 sebagai Tahun Budaya ASEAN, yang akan membuka peluang-peluang ekonomi berpacu baru melalui industri kreatif, sambil memanfaatkan sumber-sumber secara mesra alam, seterusnya meningkatkan kesedaran ASEAN.

Ini kerana, jelas beliau, sifat ‘Budaya’ yang tidak berlandaskan sempadan baik di ASEAN dan di luar. Beliau mengongsikan bahawa Bandar Seri Begawan telah diiktiraf sebagai Ibu Negara Ketamadunan Islam bagi Rantau Asia di bawah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Islam (ISESCO) di bawah Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).

Dengan peningkatan dari segi penuaan penduduk di rantau Asia Tenggara, Negara Brunei Darussalam turut mengalu-alukan ASEAN Centre for Active Ageing and Innovation yang akan ditubuhkan di bawah naungan kepengerusian Thailand yang akan membolehkan negara-negara anggota ASEAN untuk memanfaatkan dasar panduan dan pembaharuan ke arah penuaan aktif di ASEAN.

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan turut mengetengahkan peranan para belia dalam sama-sama menyokong pengendalian insentif-insentif ASEAN. Oleh itu, beliau memberikan pandangan bagi Majlis ASCC untuk mengutamakan dan mengambil kira perkara-perkara yang menjadi kepentingan bagi para belia.

Ke arah ini, jelas beliau, wadah (platform) melalui inisiatif dan projek bagi para belia termasuk dalam bidang penjagaan alam sekitar di samping mempromosikan polisi-polisi yang tertumpu kepada kemapanan dan pemeliharaan alam sekitar ke arah merealisasikan ‘masyarakat hijau’ (green society).

Menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini, Mesyuarat ASCC ke-21 yang dipengerusikan oleh Menteri Kebudayaan Kerajaan Thailand, Tuan Yang Terutama Vira Rojpojchanarat itu juga membincangkan dokumen-dokumen di bawah Tonggak ASCC yang dicadangkan untuk dihadapkan kepada ketua-ketua negara dan kerajaan ASEAN semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-34 dan ke-35 nanti.

Mesyuarat Majlis ASCC ke-21 didahului dengan mesyuarat-mesyuarat Kumpulan Kerja mengenai Budaya Pencegahan (WG on CoP) ke-2 pada 13 Mei, Persidangan Penyelarasan Mengenai ASCC (SOC-COM) ke-14 pada 14 Mei dan Komiti Pegawai-pegawai Kanan bagi ASCC (SOCA) ke-26 pada 15 dan 16 Mei.

Di samping menghadiri Mesyuarat Majlis ASCC ke-21, Yang Berhormat Dato juga telah mengadakan perjumpaan dengan TYT Vira Rojpojchanarat yang juga pengerusi ASCC dan Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Republik Singapura, TYT Desmond Lee.

Turut menyertai Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan pada mesyuarat itu ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Datin Paduka Dr. Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil serta pegawai-pegawai kanan KKBS dan Kedutaan Besar Negara Brunei Darussalam di Thailand.