Ikut peraturan berjaja di BandarKu Ceria

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 JULAI – Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) memaklumkan bahawa berpandukan kepada nasihat Kementerian Kesihatan mengenai langkah-langkah pelaksanaan pelan de-escalation, aktiviti berjaja semasa Program Bandarku Ceria akan diadakan semula bermula Ahad ini.

KHEDN dalam kenyataannya turut menekankan, ke arah mempertingkatkan lagi langkah-langkah membendung penularan COVID-19 di negara ini, maka penjaja yang beroperasi semasa Program Bandarku Ceria dikehendaki untuk mengikut syarat-syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan.

Antara syarat-syarat dan peraturan yang dimaksudkan ialah kawasan yang dibenarkan untuk berjaja hanya dihadkan di kawasan-kawasan yang ditetapkan oleh Jabatan Bandaran BSB, penempatan dan jumlah petak jualan adalah terhad yang akan dibuat secara berkumpulan (clustering) dan penjarakan khemah-khemah jualan mengikut garis panduan yang ditetapkan.

Penjaja hanya dibenarkan menggunakan khemah berukuran 10 kaki x 10 kaki dengan penjarakan tiga meter antara khemah dan penjaja hendaklah membuat pendaftaran ke Jabatan Bandaran BSB untuk mendapatkan petak yang dikhaskan secara mingguan.

Pendaftaran petak jualan adalah secara yang dahulu didahulukan dan pendaftaran bermula Isnin hingga Khamis dan Sabtu secara mingguan tertakluk kepada perubahan semasa manakala itu, pendaftaran hanya dibukakan kepada rakyat dan penduduk tetap Negara Brunei Darussalam yang berumur 18 tahun ke atas dan pemohon hendaklah membawa kad pengenalan asal semasa pendaftaran untuk pengesahan.

Setiap penjaja hanya dibenarkan untuk memohon bagi satu pendaftaran sahaja dan pendaftaran tidak boleh dipohonkan melalui wakil dan penjaja yang tidak berdaftar tidak dibenarkan untuk berjaja.

Untuk maklumat lanjut mengenai pembukaan semula aktiviti berjaja semasa Program Bandarku Ceria, orang ramai yang berminat bolehlah mendapatkan borang pendaftaran di pejabat Kompleks Tamu Kianggeh pada Isnin hingga Khamis dan Sabtu bermula pukul 9 pagi hingga 11 pagi dan 2 petang hingga 4 petang. Untuk sebarang pertanyaan, bolehlah menghubungi Jabatan Bandaran BSB di talian 7179900.

KHEDN juga mengingatkan para penjaja semasa Program Bandarku Ceria bahawa jika tidak mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan, mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204. Para penjaja dipohonkan untuk memberikan kerjasama untuk mematuhi arahan-arahan dan nasihat yang ditetapkan oleh pihak kerajaan dari semasa ke semasa.