Ilham Sanubari buka bicara

Siapa tidak kenal pengacara program Malaysia Hari Ini (MHI), Ahmad Fedtri Yahya yang hebat bermadah seloka dan berkongsi kata pujangga.

Setiap bait ayat yang dipertuturkan Ahmad Fedtri baik di televisyen (TV) mahu pun platform media sosial, membuktikan kecintaan terhadap keindahan Bahasa Melayu dan menjadi contoh kepada generasi muda mendalaminya.

Atas kepakaran itu, Ahmad Fedtri yang banyak menghasilkan lirik lagu untuk Datuk Seri Siti Nurhaliza, Noraniza Idris dan Hafiz Hamidun, dilamar menyertai Buletin FM yang dahulunya dikenali sebagai Kool FM, sebagai salah seorang penyampai.

Ahmad Fedtri yang dipertanggungjawab mengendalikan program Ilham Sanubari, setiap Isnin hingga Jumaat dari jam 9 malam hingga 12 tengah malam, menganggap tawaran Media Prima Audio (MPA) sebagai hadiah hari jadi paling bermakna.

Menyambut ulang tahun kelahiran ke-40, Isnin lalu, Ahmad Fedtri mengaku, tidak mengambil masa lama untuk menimbangkan tawaran MPA itu.

Ahmad Fedtri mahu memberi motivasi kepada pendengar melalui perkongsian positif di Buletin FM, bukan sekadar tempat meluahkan masalah atau kisah derita semata-mata. – Agensi

“Jika disuruh menjadi kecoh atau perlu melawak, tentulah saya tidak akan terima kerana ia berbeza dengan karakter saya.

“Pengurusan beritahu mereka hanya mahu saya menjadi diri sendiri… Tanpa berfikir panjang, malah, tidak sampai lima minit pun, saya terus bersetuju.

“Saya dikehendaki mendengar luahan dan masalah pendengar seperti yang sering saya lakukan melalui akaun Instagram (IG) saya selama ini.

“Tidak sangka, rupa-rupanya syarikat nampak usaha saya sehingga tertarik memperkenalkan program itu di platform radio,” katanya kepada BH Online.

Ahmad Fedtri berkata tawaran MPA itu dianggap mimpi menjadi nyata.

“Sebenarnya, sudah lama saya teringin mengendalikan program sedemikian, namun, tiada platform.

“Jika sekadar di IG, memang tidak terlayan. Sekarang, dengan adanya platform yang formal, lebih banyak lagi perkongsian boleh dibuat,” katanya.

Ahmad Fedtri berkata, dia dilamar menjadi ahli keluarga Buletin FM, bulan lalu dan sempat mengikuti latihan selama tiga minggu.

Biarpun berpengalaman sebagai pengacara TV selama lebih 17 tahun, Ahmad Fedtri mengaku gementar memulakan tugas baharunya sebagai penyampai radio.

Akuinya, perkara yang membuatkan dirinya gementar tentulah maklum balas pendengar.

Bagaimanapun, Ahmad Fedtri akur pendengar memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan segmen baharu itu.

“Pada mulanya, saya tidak sabar ke udara, lebih-lebih lagi program yang dikendalikan kena dengan jiwa saya.

“Lagipun, sudah lama saya bermimpi untuk mengendalikan program begini. Namun, semakin dekat dengan tarikh ke udara, rasa gementar makin bertambah.

“Selain maklum balas pendengar, saya gementar perlu mengendalikan butang panel yang banyak secara bersendirian tanpa rakan penyampai lain,” katanya.

Memperincikan program yang bakal dikendalikannya, Ahmad Fedtri berkata Ilham Sanubari membuka ruang kepada pendengar berkongsi apa sahaja luahan berkaitan hal rumah tangga, pekerjaan dan sebagainya. – Agensi