SEOUL, 28 APRIL – Pemenang Jelajah PGA berturut-turut, Im Sung-jae dan Kim Si-woo akan menyertai Sukan Asia pada tahun ini di China, di mana pingat emas berpotensi melepaskan pasangan tersebut daripada menyertai perkhidmatan ketenteraan.
Im dan Kim, masing-masing menduduki tempat ke-19 dan ke-51 dunia, telah dipilih dalam skuad empat pemain untuk pertandingan berpasukan dan individu di Sukan Asia pada September nanti, menurut kenyataan Persatuan Golf Korea.
Korea Selatan mewajibkan semua lelaki untuk berkhidmat dalam angkatan tentera selama 18 bulan, biasanya antara umur 18 hingga 28 tahun, tetapi pemenang pingat Olimpik dan pingat emas Sukan Asia diberi pengecualian.
Sukan Asia, acara yang mempunyai berbilang sukan bersaiz Olimpik pada tahun ini akan membenarkan pemain golf profesional bertanding buat kali pertama sejak sukan tersebut diperkenalkan pada 1982. Im yang berusia 24 tahun, adalah pemain Rookie Terbaik dalam Jelajah PGA 2018-2019, telah menang dua kali di dalam kumpulan elit AS.
Kim, yang berusia 26 tahun, telah memenangi tiga kali dalam Jelajah PGA, termasuk Kejuaraan pemain berprestij di Sawgrass pada 2017.
“Saya sangat gembira dapat mewakili skuad negara di Sukan Asia. Saya akan bekerja keras untuk memenangi pingat emas,” kata Im dipetik agensi berita Yonhap.
Sukan Asia di Hangzhou, barat daya Shanghai, akan berlangsung dari 10 hingga 25 September. Tempat dalam pasukan golf wanita Korea Selatan akan diisi oleh pemain amatur.
Korea Selatan secara teknikal masih berperang dengan Korea Utara sejak konflik 1950-1953 yang berakhir dengan gencatan senjata, bukannya perjanjian damai. – AFP