imagine, bank Baiduri tawar peranti baharu

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 JUN – Sebagai usaha berterusan dalam menyediakan kepelbagaian, kemudahan dan fleksibiliti dalam pasaran telekomunikasi Brunei, imagine Sdn Bhd telah mengumumkan bundle peranti mudah alih pertamanya dengan kerjasama Bank Baiduri yang memperkenalkan peranti mudah alih terbaharu Oppo.

Menjadi yang pertama dan terawal di Brunei yang mendapat akses kepada peranti berkenaan, iaitu Oppo Find X2 Pro dan Oppo Find X2, tawaran awal imagine bersama Bank Baiduri didatangkan dengan rebat tunai bagi 100 pelanggan pertama yang membelinya menggunakan kad kredit Baiduri.

Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan di sini, hari ini, sepanjang tempoh promosi pembelian telefon berkenaan, 25 pemegang kad kredit Baiduri awal akan menerima rebat bernilai $150 manakala 25 pemegang kad seterusnya akan menerima rebat $100 dan 50 pemegang kad kredit Baiduri selebihnya akan menerima rebat bernilai $50.

Kesemua 100 pelanggan berkenaan juga dapat menikmati 50 peratus pengecualian yuran pemprosesan bagi pelan ansuran sifar peratus.

Para pelanggan yang berhasrat untuk meneroka pelbagai ciri yang terdapat pada telefon yang ditawarkan berkenaan bolehlah berkunjung ke cawangan imagine di Citis Square, Berakas atau Panaga, Seria di mana promosi berjalan kira-kira sebulan bermula esok.

Peranti-peranti baharu itu juga boleh didapati menerusi laman sesawang imagine secara yang dahulu didahulukan, namun ia tidak termasuk promosi eksklusif yang ditawarkan tersebut.

Selain itu, imagine turut menawarkan Oppo Find X2 Pro edisi terhad dengan permukaan belakang kulit vegan berwarna oren.

Peranti berkenaan turut ditawarkan dengan kontrak pasca bayar imagine.

Sementara itu, kad kredit dan debit Baiduri didatangkan dengan pelbagai faedah seperti ganjaran eksklusif dan tawaran, pelan ansuran mudah serta kemampuan mengumpulkan mata ganjaran bagi Program Ganjaran Segera Baiduri.

imagine bekerjasama dengan Bank Baiduri memperkenalkan peranti mudah alih terbaharu Oppo Find X2 Pro dan Oppo Find X2. – Gambar serahan Bank Baiduri