imagine bantu golongan memerlukan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JUN – Sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat syarikat dalam menggalakkan semangat memberi dan bersedekah di kalangan kakitangannya (imagineers), imagine Sdn Bhd telah melaksanakan Kegiatan Amal Syawal pertamanya dengan mengumpulkan sumber untuk menyumbang kepada golongan yang memerlukan.

Menurut kenyataan daripada imagine Sdn Bhd, di sini, hari ini, bagi tempoh lebih seminggu, imagineers dari seluruh negara menyumbangkan barangan keperluan asas dan barang-barang terpakai serta peralatan tulis bagi kanak-kanak yang mula kembali ke sekolah berikutan dengan langkah pengurangan larangan COVID-19.

Sehubungan dengan itu, sumbangan daripada kegiatan amal berkenaan telah disampaikan kepada Majlis Kebajikan Masyarakat (MKM) oleh Naib Presiden Pengalaman Pelanggan, Irshad Ahamed dan diterima oleh Presiden MKM, Haji Mohd Yusof bon Shaikh Abdul Halim pada majlis yang berlangsung di Ibu Pejabat MKM, Kampung Mentiri, hari ini.

Kenyataan menjelaskan lagi bahawa inisiatif itu berikutan dengan beberapa aktiviti tanggungjawab sosial korporat yang bermula dalam bulan Ramadan termasuk pengagihan barangan keperluan asas kepada keluarga-keluarga yang memerlukan dengan bantuan daripada sukarelawan daripada imagine.

Ia diikuti dengan aktiviti amal dalam kalangan imagineers di mana sumbangan mereka membantu dalam pengagihan hidangan sungkai kepada lebih 150 orang individu menerusi Cabaran #300 Meals Society for Community Outreach and Training (SCOT Brunei).

Pada masa yang sama, imagineers turut menghulurkan bantuan dalam melaksanakan kerja-kerja membaiki rumah seorang warga emas di Daerah Tutong yang diketuai oleh pertubuhan bukan kerajaan dengan diterajui oleh belia, Bina Ukhwah.

Sebagai sebuah syarikat yang baharu di Negara Brunei Darussalam, imagine berhasrat untuk menyelaraskan nilai-nilai korporatnya untuk memperkasa warga Brunei di seluruh negara menerusi produk dan perkhidmatannya serta menerusi inisiatif-inisiatif tanggungjawab sosial korporat yang menumpukan kepada memperbaiki kebajikan mereka yang memerlukan.

Irshad menyampaikan sumbangan kepada Haji Mohd Yusof. – Gambar serahan imagine