Wednesday, April 24, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    imagine berkongsi kemeriahan sambutan TBC

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar oleh Daniel Lim & imagine

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JAN – Dengan sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) bakal menjelang, pasukan imagine yang merangkumi pihak pengurusan dan kakitangannya telah berkunjung ke serata negara untuk berkongsi kemeriahan sambutan kebudayaan itu dan mengagihkan barangan TBC eksklusif kepada para pelanggan di cawangan-cawangan imagine.

    Mengetuai aktiviti yang diadakan hari ini, ialah Ketua Pegawai Eksekutif imagine, Dayang Suzannawati binti Haji Suharju di lokasi utama acara di imagine Cawangan Panaga di Seria dengan diiringi oleh Naib Presiden Kewangan imagine, Callie Tan.

    Pasukan imagine mengambil peluang itu untuk berinteraksi dengan para pengunjung dan menyampaikan biskut perayaan dan paket merah sebagai tanda penghargaan untuk sokongan yang diterima sepanjang tahun lalu.

    Dengan ahli-ahli pengurusan kanan yang lain ditempatkan di pusat-pusat imagine lain, inisiatif itu terus menandakan inisiatif mendekati masyarakat syarikat yang meraikan kepelbagaian penduduk Brunei serta pada masa yang sama, menyediakan peluang kepada para pelanggan untuk berinteraksi dengan pemimpin syarikat dalam berkongsi sentimen, idea serta fikiran mereka mengenai bagaimana pasukan imagine dapat terus mendekati mereka serta memenuhi keperluan kesalinghubungan mereka.

    Barangan itu akan dikongsi dengan pelanggan-pelanggan yang berkunjung ke cawangan-cawangan yang mengambil bahagian iaitu The Mall, Gadong, Citis Square Berakas, Tanjong Bunut, Rimba Point, Yayasan Kompleks, Petani Mall di Tutong, Panaga di Seria dan Temburong di mana barangan adalah selagi stok masih ada.

    Dayang Suzannawati menyampaikan sumbangan catuan Tahun Baharu Cina dan sampul merah kepada pelanggan di cawangan imagine, Seria.
    Dayang Suzannawati menyampaikan sumbangan catuan Tahun Baharu Cina kepada penghuni Rumah Warga Emas Seria.

    Sementara itu, sehingga Mac depan, imagine akan menerima kalendar-kalendar berasaskan kertas lama di kesemua cawangannya untuk dikitar semula sebagai tukar ganti bagi kalendar-kalendar imagine 2022.

    Ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat syarikat yang selari dengan inisiatif tanpa kertas imagine yang bertujuan untuk mengurangkan tapak kaki karbonnya.

    Para pengunjung sama ada pelanggan imagine atau sebaliknya, digalakkan untuk menyertai gerakan itu tetapi mereka perlu menghilangkan sebarang maklumat peribadi atau sulit sebelum melakukan penukaran berkenaan.

    Dalam pada itu, imagine turut mengambil peluang perayaan ini untuk meraikannya bersama dengan penghuni Rumah Warga Emas di Seria sebagai sebahagian daripada usaha mendekati masyarakat yang bersamaan dengan ulang tahun imagine kedua, hari ini.

    Menurut kenyataan berasingan imagine, acara berkenaan diketuai oleh Dayang Suzannawati di mana beliau menyampaikan catuan TBC serta sampul merah kepada para penghuni yang disumbangkan oleh syarikat dan kakitangannya.

    Sebagai sebahagian daripada sumbangan imagine, syarikat berkenaan juga menyumbangkan dua unit telefon bimbit untuk membantu operasi kemudahan berkenaan serta baucar membeli-belah bagi membantu menambah keperluan harian asas pusat berkenaan khususnya bagi penghuni.

    Sumbangan yang dilaksanakan itu adalah sebahagian daripada siri pendekatan masyarakat yang dimulakan pada minggu lalu dengan bacaan doa selamat, Surah Yasin dan Tahlil yang diadakan di Balai Ibadat Kampung Sungai Pandan di mana imagine turut menyumbangkan beberapa barangan bagi memudahkan jemaah serta juga menyediakan hidangan makanan bagi kanak-kanak, warga emas dan golongan kelainan upaya di kawasan berkenaan serta juga kampung-kampung berdekatan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Badak air betina disangka jantan

    TOKYO, 23 APRIL - Terperdaya oleh DNA dan tabiat tandas yang pelik, seekor badak air di Jepun yang disangka jantan selama tujuh tahun sebenarnya...