Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 APRIL – Dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri bakal menjelang tidak lama lagi, ahli-ahli pasukan imagine yang terdiri daripada pengurusan dan kakitangan syarikat berkunjung ke serata negara untuk berkongsi keriangan perayaan dengan mengagihkan barangan Hari Raya eksklusif kepada pelanggan-pelanggan yang berkunjung ke 10 buah cawangan syarikat berkenaan.
Mengetuai aktiviti berkenaan pada hari ini, dan mewakili Ketua Pegawai Ekeskutif imagine, Dayang Suzannawati binti Haji Suharju ialah Naib Presiden Kerjasama dan Pembangunan Perniagaan, Awang Radziman Rahman di lokasi utama iaitu cawangan imagine di Citis Square, Berakas.
Semasa aktiviti berkenaan, pasukan pengurusan mengagih-agihkan peket raya yang merangkumi rekaan seni oleh pelajar-pelajar Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat syarikat untuk menyokong bakat tempatan, organisasi bukan kerajaan dan golongan kelainan upaya.
Dengan ahli pengurusan kanan ditempatkan di pusat-pusat imagine yang lain, inisiatif itu terus menandakan usaha penglibatan syarikat dalam meraikan sambutan-sambutan keagamaan yang signifikan bersama masyarakat.
Cawangan-cawangan yang menyertai inisiatif berkenaan ialah The Mall, Gadong, Citis Square, Tanjong Bunut, Rimba Point, Kompleks Yayasan, Petani Mall di Tutong, Kuala Belait, Panaga di Seria, Dewan Ketibaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei serta juga di Temburong.
