Imagine lancar Wish Pre-Paid

Oleh Salawati Haji Yahya

Gambar serahan imagine

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 MAC – Sebagai sebahagian daripada usaha syarikat untuk terus menyokong kerajaan dalam mengatasi COVID-19, imagine Sdn Bhd sebagai salah satu perkhidmatan telekomunikasi, melancarkan Perkhidmatan Wish Pre-Paid hari ini dengan menyampaikan sumbangan kepada sukarelawan belia di bawah Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Majlis penyerahan sumbangan yang berlangsung di Pusat Bahagia, Pulaie adalah dalam bentuk kad sim prabayar yang dimuatkan dengan ciri-ciri yang membolehkan sambungan tanpa batasan antara sukarelawan semasa bekerja di mana-mana kawasan yang ditetapkan.

Penyerahan sumbangan sebanyak 50 sim kad itu disampaikan oleh Naib Presiden Pemasaran, Dayang Dona Johan kepada ahli jawatankuasa dari unit sukarelawan yang ditempatkan di Pusat Bahagia.

Di samping itu, 250 sim kad juga telah diperuntukkan kepada agensi-agensi kerajaan lain serta pertubuhan bukan kerajaan yang terlibat dalam operasi COVID-19 di negara ini.

Sebahagian daripada tajaan ini juga termasuk beberapa telefon mudah alih untuk kegunaan Kementerian Kesihatan yang disumbangkan oleh kakitangan imagine yang kebanyakan mereka telah memberi sumbangan secara peribadi sama ada melalui kerja sukarela, sumbangan makanan atau dalam bentuk kewangan.

Dayang Dona Johan menyampaikan sumbangan kepada salah seorang ahli jawatankuasa dari unit sukarelawan yang ditempatkan di Pusat Bahagia. Sdn Bhd

Ketua Pegawai Eksekutif, Suzanna Suharju menjelaskan, “Kami memahami bahawa pelaburan yang besar diperlukan untuk membiayai operasi ini.

“Ini termasuklah memastikan agensi-agensi dapat berkomunikasi dengan lancar.

“Sepanjang beberapa minggu yang lalu, industri telekomunikasi termasuk imagine telah bekerja rapat dengan kerajaan untuk menyediakan jalur lebar dan sambungan talian darat untuk menyokong operasi COVID-19,” jelasnya.

Katanya lagi, “imagine telah mengambil peluang penyediaan pra-bayar ini untuk memberikan balik kepada masyarakat dengan menyokong ratusan pemuda dan pemudi yang telah menunjukkan keberanian mereka dalam menghadapi pandemik ini.”

Berhubung penjarakkan sosial, pelanggan boleh membeli sim Wish Pre-Paid secara dalam talian melalui eStore di www.imagine.com.bn bermula 28 Mac ini termasuk penghantaran portal percuma serta penghantaran ke rumah.

Selain itu, semua cawangan imagine di seluruh negara juga menjual sim prabayar untuk orang awam bermula 28 Mac ini. Semua keterangan lanjut boleh didapati di platform media sosial imagine, laman web atau dengan menghubungi Talk2U syarikat di nombor 111.