imagine meriahkan TBC

Oleh Sim Y. H.
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 JAN – Tahun Baharu Cina (TBC) bakal diraikan dalam masa beberapa hari lagi dan bagi sama-sama berkongsi memeriahkan lagi acara sambutan yang bakal menjelang, ahli-ahli pasukan imagine tidak ketinggalan untuk turun ke cawangan-cawangan mereka di seluruh negara untuk mengagih-agihkan barangan cenderahati istimewa perayaan.

Kempen itu diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif imagine, Suzanna Suharju di mana kempen pada tahun ini, menumpukan Pusat imagine, Gadong, hari ini.

Semasa kempen itu, Suzanna berpeluang untuk bertemu dan mengalu-alukan para pelanggan yang berkunjung ke pusat berkenaan serta menyampaikan cenderahati berupa kuih tart TBC dan sampul merah sebagai tanda penghargaan kepada para pelanggan setia.

Manakala itu, pihak pengurusan kanan yang lain turut ditempatkan di pusat-pusat imagine yang lain dan inisiatif berkenaan menandakan acara pendekatan komuniti rasmi yang pertama bagi syarikat di bawah skop kepercayaan dan penjagaan pelanggan syarikat di mana pihak ima-gine meraikan kepelbagaian masyarakat Brunei dan juga untuk memberikan layanan terbaik bagi memenuhi keperluan mereka.

Barangan cenderahati yang diagih-agihkan itu adalah khusus bagi para pelanggan yang berkunjung dan berurusan di kaunter-kaunter mereka di pusat-pusat imagine di mana barangan berkenaan diagihkan selagi stok masih ada.

Pihak imagine menyatakan lagi bahawa dalam tempoh minggu-minggu yang akan datang, mereka akan memperkenalkan pelbagai perkhidmatan dan produk-produk baharu yang meliputi jalur lebar, perkhidmatan mudah alih dan pakej-pakej yang menarik bagi memenuhi keperluan unik setiap pelanggan individu baik untuk kegunaan di rumah, di tempat kerja atau ketika bergerak.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai dengan perkhidmatan-perkhidmatan yang ditawarkan, bolehlah menghubungi Talk2Us di talian 111 atau melalui platform media sosial mereka.

Suzanna menyampaikan cenderahati Tahun Baharu Cina kepada pelanggan yang hadir.
Suzanna bergambar ramai bersama kakitangan imagine.