imagine perkenalkan peranti oppo baharu

Oleh Yusrin Junaidi
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JUN – Dua peranti baharu Oppo, iaitu Find X2 Pro dan Find X2 kini boleh didapati secara eksklusif di imagine Sdn Bhd yang secara rasmi memperkenalkan bundle peranti mudah alih berkenaan dengan kerjasama Oppo Brunei, hari ini.

Tawaran berkenaan merupakan salah satu usaha berterusan imagine Sdn Bhd dalam menyediakan kepelbagaian, kemudahan dan fleksibiliti dalam pasaran telekomunikasi.

Syarikat telekomunikasi berkenaan merupakan syarikat pertama yang mengumumkan kedua-dua peranti mudah alih Oppo berkenaan kepada pelanggan khasnya dan kepada orang ramai amnya.

Naib Presiden Pemasaran imagine Sdn Bhd, Dayang Dona Johan berkata, para pelanggan yang berhasrat untuk meneroka pelbagai ciri yang terdapat pada telefon yang ditawarkan itu bolehlah berkunjung ke cawangan imagine di Berakas atau Seria di mana mereka menawarkan promosi eksklusif yang berjalan selama kira-kira sebulan.

Peranti-peranti baharu itu juga boleh didapati menerusi laman sesawang imagine secara yang dahulu didahulukan, namun ia tidak termasuk promosi eksklusif berkenaan. Selain itu, imagine turut menawarkan Oppo Find X2 Pro edisi terhad dengan penutup belakang kulit vegan berwarna oren.

Menurut imagine, peranti berkenaan ditawarkan bersama pelan bayaran mampu milik dengan bayaran pendahuluan bagi pelan Bundle Dream Mobile atau Dream Mobile Plus.

Orang ramai yang ingin mendapat produk berkenaan boleh mengunjungi cawangan-cawangan berkenaan dan mendapatkan tawaran hebat daripada imagine.

Dayang Dona ketika memperkenalkan peranti Oppo Find X2 Pro dan Find X2.