imagine pindah cawangan, mudahkan penduduk

Oleh Syahmi Hassan
Gambar serahan imagine Sdn Bhd

TEMBURONG, 10 JULAI – Dengan perkembangan berterusan yang dilaksanakan di Daerah Temburong, imagine Sdn Bhd telah mengambil kesempatan untuk meningkatkan kehadiran fizikalnya di Permata Hijau Brunei itu dengan memodenkan kemudahannya agar lebih sesuai dengan permintaan perkhidmatan telekomunikasi yang semakin meningkat di daerah ini.

Dari lokasi asalnya yang juga pernah menempatkan TelBru Exchange, pusat terbaharu imagine itu kini terletak di tingkat bawah Hotel Stoneville di tengah-tengah kawasan komersial Bangar, menjadikan perkhidmatan lebih senang dan mudah diakses oleh penduduk dan pengunjung yang mencari perkhidmatan jalur lebar dan mudah alih yang disediakan oleh imagine.

Bagi menandakan peristiwa penting itu, ahli-ahli lembaga pengarah, warga pengurusan dan kakitangan syarikat berkenaan telah mengadakan acara Doa Selamat bagi memberkati pusat yang dipindahkan itu yang juga termasuk pemberian cenderahati untuk pelanggan sebagai tanda penghargaan syarikat atas sokongan berterusan mereka.

Manakala melancarkan pusat di tempat baharu itu ialah Timbalan Pengerusi imagine, Satria Hussian.

Menurut kenyataan yang diberikan, memandangkan infrastruktur telekomunikasi negara terus dimodenkan di keempat-empat daerah, pelancaran pusat imagine Temburong itu adalah sejajar dengan misi dan visi syarikat yang bertujuan untuk memberi peluang kepada masyarakat Brunei untuk membayangkan, mencipta dan mengalami masa depan melalui perkhidmatan telekomunikasi generasi akan datang sama ada di rumah, di tempat kerja atau semasa berjalan sambil memberikan pengalaman pelanggan terbaik dalam industri itu.

Bersama pusat imagine yang lain, pelanggan-pelanggan di Daerah Temburong dialu-alukan untuk meneroka rangkaian perkhidmatan imagine yang merangkumi produk dan perkhidmatan jalur lebar dan mudah alih, manakala bagi meraikan pembukaan itu, pelanggan akan menerima barang dagangan imagine.

Warga pengurusan imagine turut mengadakan majlis Doa Selamat sempena perasmian tempat baharu.
Satria Hussian ketika merasmikan pusat imagine yang baru berpindah di Daerah Temburong.