Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Windhoek, Namibia, baru-baru ini menganjurkan Promosi Hari Filem Malaysia yang pertama di negara Afrika Selatan itu dengan menampilkan tayangan dua filem terkenal, Imam dan Mat Kilau, di pawagam Franco Namibian Cultural Centre (FNCC).
Suruhanjaya Tinggi dalam satu kenyataan memaklumkan, kedua-dua filem dengan sari kata bahasa Inggeris itu mendapat reviu baik daripada penonton Namibia kerana ia menerapkan semangat patriotisme dan nilai-nilai murni.
Kenyataan itu juga menekankan bahawa filem-filem itu mempamerkan kualiti kepimpinan dan semangat juang menentang penindasan, serupa dengan perjuangan Palestin yang berterusan menentang pendudukan Israel.
“Lebih-lebih lagi, ia mencerminkan semangat kepimpinan serta semangat juang menentang penindas – sama dengan senario semasa rakyat Palestin ditindas oleh Israel,” menurut kenyataan itu.
Semasa berucap pada majlis itu, Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Namibia, Datuk Dr Mohamad Rameez mengambil peluang menjelaskan mengenai isu Palestin serta menyuarakan harapan agar rakyat Namibia akan memberi sokongan terhadap perjuangan Palestin. – Bernama
