Imam terkenal maut serangan bom di masjid

KABUL, 3 JUN – Dua maut, termasuk seorang imam terkenal dalam serangan bom di Masjid Wazir Akbar Khan, yang popular dalam zon hijau di bandar ini, semalam.

Serangan terbaharu di ibu kota Afghanistan berlaku selepas tujuh orang awam terbunuh di utara negara itu pada Isnin, dalam satu letupan bom di tepi jalan yang didakwa dilakukan pemberontak Taliban.

Setakat ini, belum ada kumpulan yang mengaku bertanggungjawab melakukan serangan terhadap masjid itu, yang turut dikecam oleh jurucakap Taliban di Twitter.

Letupan kuat, yang berlaku di sebahagian ruang ibadat masjid yang paling terkenal di bandar ini, sekaligus mewujudkan kejutan termasuk pejabat kedutaan dan syarikat antarabangsa sehingga memaksa kakitangan masing-masing mendapatkan perlindungan di ruang yang selamat.

“Malangnya, malam ini beberapa bahan letupan yang diletak oleh pengganas di masjid Wazir Akbar Khan meletup,” kata jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Tareq Arian kepada AFP.

Masjid Wazir Akbar Khan yang terletak di tengah-tengah bandar Kabul, berdekatan pintu masuk ke zon hijau sering menjadi tumpuan pemimpin tempatan dan luar negara menunaikan solat di sana.

Imam masjid itu, Ayaz Niazi yang terkenal dengan khutbah berkaitan politik dan mampu menarik orang ramai datang ke masjid, terkorban dalam serangan berkenaan. – AFP

Gambar fail pada 24 Mei lalu menunjukkan Imam Ayaz Niazi ketika memberikan khutbah Hari Raya Aidilfitri di Masjid Wazir Akbar Khan di Kabul. – AFP