Imarah, makmurkan masjid

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Mac – Sebagai tanda kesyukuran, jemaah tadarus Al-Quran bagi Masjid Kampung Sungai Besar telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran yang berlangsung di masjid berkenaan pagi tadi.

Ketua Imam Masjid Kampung Sungai Besar, Pengiran Haji Mohd Solehin bin Pengiran Haji Tajuddin berkata, majlis itu juga membantu mengimarahkan dan memakmurkan lagi masjid berkenaan.

Para peserta khatam, tambah beliau, merupakan pemangkin kepada para jemaah yang lain terutama golongan muda agar lebih ramai lagi datang dan membantu memupuk minat dalam sama-sama mengimarahkan masjid dan seterusnya merapati Al-Quran.

Menurut beliau, khatam Al-Quran mempunyai keberkatan dan kerahmatan yang sangat istimewa diperoleh di dunia dan akhirat kelak.

Majlis telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan disusuli dengan bacaan ayat-ayat lazim yang diketuai Haji Abdul Rahim bin Begawan Pehin Si-Raja Khatib Dato Seri Setia Haji Mohd Tamin bermula daripada Surah Ad-Duha sehingga Surah An-Nas beramai-ramai sebelum tahktim dan Doa Khatam dibacakan pada akhir majlis.

Gambar ramai para peserta khatam.