Imarahkan kembali masjid dalam fasa peralihan

Oleh Yusrin Junaidi

Selepas hampir empat bulan Negara Brunei Darussalam mengetatkan pelbagai aktiviti berikutan penularan gelombang kedua wabak COVID-19, kini negara kita akan memasuki fasa peralihan sebagaimana yang dijadualkan esok (19 November).

Semasa fasa peralihan ini langkah-langkah pengawalan mula dikurangkan secara berperingkat mengikut garis panduan yang disesuaikan.

Pembukaan semula masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat di seluruh negara yang dinanti-nantikan selama ini antara kelonggaran yang terkandung dalam fasa peralihan berkenaan.

Sebagaimana yang dimaklumkan sebelum ini, pada fasa peralihan pembukaan semula masjid, surau dan balai ibadat bermula pada waktu sembahyang fardu Subuh, fardu Jumaat, dan sembahyang fardu lima waktu sahaja.

“Alhamdulillah, dengan izin dan kurnia Allah SWT jua, negara kita dapat menunaikan sembahyang fardu Jumaat di masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat seluruh negara pada fasa peralihan tahap pertama.

Kelihatan ahli jawatankuasa masjid melakukan persiapan menyambut jemaah untuk menunaikan sembahyang fardu Jumaat.
Imam Masjid Kampung Kapok, Haji Mohd Afdzillah merasa amat bersyukur masjid telah dibuka semula.
Awang Mohd Zahid Zakwan ketika ditemu bual media.
Kapasiti masjid bagi sembahyang fardu Jumaat adalah tertakluk kepada keluasan ruang dalam dan luar masjid setelah dilakukan penjarakan sekurangnya ukuran satu saiz tikar sembahyang besar di antara jemaah iaitu satu meter.

“Dalam hubungan ini, Kementerian Hal Ehwal Ugama sukacita mengucapkan terima kasih dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kerjasama padu pelbagai pihak, agensi, persatuan, ahli jawatankuasa takmir masjid, belia dan sukarelawan juga masyarakat di negara ini.

“Semoga persefahaman dan perpaduan kita senegara dalam menghadapi cabaran juga cubaan ini akan mengukuhkan lagi ketahanan hidup bermasyarakat, berbangsa dan bernegara juga meningkatkan keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah SWT,” kongsi Imam Masjid Kampung Kapok, Haji Mohd Afdzillah bin Haji Mohd Yussof, ketika dihubungi oleh Media Permata baru-baru ini.

Pada fasa peralihan ini, beberapa perkara yang dilakukan dan diketatkan kawalannya dalam sama-sama mengawal dan membendung penularan wabak seperti menjaga kemasukan jemaah, memastikan para jemaah menggunakan aplikasi BruHealth dan melakukan imbasan kod QR, memastikan jemaah telah menerima dua dos vaksin, memastikan pemakaian pelitup muka dengan sempurna, menyediakan pensanitasi tangan, melakukan penjarakan fizikal dan para jemaah disarankan membawa tikar sembahyang sendiri bersaiz besar.

“Alhamdulillah, seramai 15 ke 20 orang terdiri daripada ahli jawatankuasa takmir masjid dan para sukarelawan akan turun padang bagi membantu proses kemasukan para jemaah dan menentukan para jemaah duduk di tempat yang telah dikhaskan.

“Selain itu, para ahli jawatankuasa masjid dan sukarelawan juga memastikan kod BruHealth jemaah berwarna hijau atau kuning,” jelas Haji Mohd Afdzillah.

Menurut Pegawai Hal Ehwal Masjid, Awang Mohd Zahid Zakwan bin Mohd Said ketika dihubungi Media Permata, semasa pembukaan semula masjid itu haruslah mengamalkan sikap bertawakal setelah berusaha dan terus bersabar dengan mematuhi semua nasihat dan saranan bagi sama-sama membendung penularan COVID-19 di negara ini.

Di samping itu juga, menurut beliau kita juga perlu memanjatkan doa ke hadrat Allah SWT semoga negara kita akan terpelihara daripada ancaman wabak COVID-19 ini dan semoga kita semua akan dapat melaksanakan ibadat seperti sedia kala dan segala usaha-usaha kita ini mendapat rahmat dan keberkatan daripadaNya jua.

Beliau juga menyeru kepada semua pendudukan kampung di sekitar Masjid Kampung Bengkurong agar mengikuti SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan sama-sama menjaga diri masing-masing dan para jemaah yang lain.

Selain itu, Awang Mohd Zahid Zakwan juga menasihatkan kepada penduduk kampung untuk sentiasa menghadirkan diri ke masjid untuk solat lima waktu berjemaah, terutama sekali bagi rumah yang berdekatan dengan masjid.

Seterusnya, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Zulhazmi Salleh, merasa amat bersyukur kepada Allah dan dengan izinNya jua kes penularan wabak COVID-19 semakin menurun di Negara Brunei Darussalam dan dengan penurunan ini, kita akan dapat menikmati kembali kehidupan kita seperti sedia kala.

“Alhamdulillah pada fasa peralihan ini, kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia melalui Kementerian Hal Ehwal Ugama dan nasihat daripada Kementerian Kesihatan telah membolehkan masjid-masjid dibuka semula bagi menunaikan sembahyang fardu.

“Mudahan dengan pembukaan semula masjid untuk beribadah dan bertambah lagi rahmat dan kasih Allah kepada kita semua dan dijauhkan segala musibah dan penyakit, dan tidak ketinggalan juga kami semua amat merindui mengadakan aktiviti dan takmir masjid demi mengangkat syiar Islam di Negara Brunei Darussalam,” jelasnya.