SIGI, Sulawesi Tengah, 22 Okt – Sekurang-kurangnya 15 mangsa gempa di kawasan pedalaman di wilayah Sigi dirujuk ke hospital untuk rawatan lanjut, selepas ditemui doktor sukarelawan Pasukan Tindakan dan Bantuan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMARET).
Ketua pasukan ketiga IMARET ke Sulawesi, Dr S. Jayaseelan berkata, pihaknya menumpukan kepada lima kawasan terjejas di Kapubaten, tetapi tidak mempunyai sukarelawan perubatan.
Lima kawasan itu ialah Tinggede, Pandere, Nokilalaki, Banpres dan Palolo, keseluruhannya membabitkan 45 desa dengan anggaran lebih 20,000 penduduk.
“Kawasan tersebut terletak di antara kawasan kota yang teruk dilanda gempa dan kawasan hujung pedalaman. Fokus kita ialah rawatan awal psikososial dan pendidikan kesihatan. Kita juga bekerjasama dengan ketua puskemas (pusat kesihatan masyarakat) dan pegawai kesihatan daerah terbabit,” katanya kepada Bernama di Pandere di sini.
Di Kecamatan Pandere sebanyak enam kes kecederaan diterima termasuk patah tulang peha dan retak tulang punggung.

Suriyadin, 25, yang patah tulang peha kiri kerana terjatuh daripada tingkat dua mengucapkan terima kasih kepada doktor Malaysia yang bersusah-payah mencari dan memujuknya untuk ke hospital di kota Palu.
“Saya khuathir ke kota, takut gempa lagi,” katanya yang ditemui dirumahnya.
Suriyadin antara ribuan mangsa gempa dan tsunami yang menggoncang Sulawesi Tengah pada 28 September lalu, menjejaskan lebih 220,000 penduduk, lebih 4,600 cedera manakala 2,105 lagi disahkan terkorban.
Rosdiana, 30, dari Nokilalaki yang turut dirawat pasukan IMARET berkata, sehingga kini masih trauma dan sukar untuk tidur kerana sakit seluruh badan disebabkan tercampak ketika bencana.
Gempa bumi berkekuatan lebih 7.5 skala Richter itu turut menyebabkan ombak tsunami mencecah enam meter dan mencetuskan fenomena likuifaksi yang menenggelamkan penempatan di kawasan Petobo dan Balaroa.
Doktor sukarelawan IMARET tiba di wilayah itu sejak 2 Oktober lalu, bertindak sebagai pasukan perubatan hadapan (FMT) Hospital Medan Bulan Sabit Merah Indonesia (BSMI) untuk membantu usaha evakuasi perubatan kepada mangsa gempa. – Bernama