Imbangi inovasi, pragmatisme

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 NOV – Kesulitan yang berlaku hari ini telah memaksa penilaian semula keutamaan kita, membantu keluar daripada cara berfikir biasa dan berfungsi sebagai pemangkin kepada kreativiti yang kita tidak tahu bahawa kita memerlukannya.

“Perkara itu telah mendorong kita untuk mencari jalan keluar, memperluas visi dan imaginasi ke arah had baharu, sehingga kita dapat mencapai keseimbangan antara inovasi dan pragmatisme, yang pada dasarnya merupakan proses penyelesaian masalah,” jelas Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah selaku ahli Lembaga Pengarah Syarikat Pemasaran Brunei Shell (BSM) semasa berucap sebagai tetamu kehormat pada majlis penyampaian hadiah BSM Disrupt, hackathon yang berlangsung di Bangunan PGGMB, hari ini.

Menurut Yang Berhormat Dato, pengalaman mencabar yang dihadapi tahun ini telah menghasilkan pelbagai jenis teknologi inovatif, reka bentuk unik dan komunikasi kreatif, yang semuanya menunjukkan penerapan dan pemaksimuman penggunaan teknologi adalah normal baharu.

Beliau berkata banyak organisasi hari ini menerapkan budaya inovasi untuk mencari peluang di luar operasi harian mereka.

“Inovasi dengan cepat menjadi nilai standard bagi syarikat yang berpandangan ke depan dan mendorong pekerja untuk memupuk pemikiran di luar kotak. Mampu menyesuaikan diri dengan inovasi adalah nilai hari ini bagi kemapanan jangka panjang,” jelasnya.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew ketika berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah BSM Disrupt di Bangunan PGGMB.

Inisiatif sudah pun disediakan untuk mendukung pertumbuhan dan inovasi lebih lanjut dalam sektor swasta, terutama untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), dan untuk melindungi pekerjaan di sektor swasta, terutama pada saat krisis ini.

Yang Berhormat Dato menyatakan keyakinan yang semua pihak berkepentingan akan terus bekerja keras secara kolektif dan juga lebih inovatif dalam memastikan Brunei Darussalam dapat memiliki sektor swasta yang bersemangat, yang akan memacu kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Terdahulu, beliau menyatakan perasaan gembira kerana dapat menyaksikan perkembangan idea-idea baharu dan inovatif daripada kumpulan berbakat yang menarik terdiri daripada penyelesai masalah dan pemikir kritis.

Beliau juga teruja untuk mendengar beberapa idea terbaik yang dapat membantu menangani masalah dan cabaran dalam subjek seperti ekonomi sosial, kemudahan dalam kehidupan dan kesihatan serta penyelesaian yang inventif dan moden bagi meningkatkan masa depan ekonomi dan masyarakat.

Beliau juga mengungkapkan rasa gembira apabila dapat menyaksikan syarikat seperti BSM melibatkan start-up dan PMKS melalui platform seperti BSM Disrupt.