Tuesday, April 29, 2025
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Imbangi perbelanjaan dengan bijak

    Oleh Sim Y. H. & Syahmi Hassan

     

    MMN Logo 2017BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Mac – Kementerian Pendidikan akan memastikan segala perancangannya adalah boleh dilaksanakan (actionable), realistik serta kos efektif supaya semua isu dapat ditangani secara berkesan dengan mengambil pendekatan penyampaian (delivery) untuk mencapai hasil yang dihasratkan.

    Oleh itu, Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman menyatakan penghargaan kepada pihak kerajaan atas kepercayaan dan sokongan dalam memperuntukkan Kementerian Pendidikan sebanyak $666.6 juta bagi perbelanjaan Tahun Kewangan 2017/2018.

    “Di bawah perbelanjaan Tahun Kewangan 2017/2018 Kementerian Pendidikan ini, sejumlah $498.8 juta disediakan untuk gaji kakitangan, sementara $167.8 juta untuk perbelanjaan berulang-ulang dan perbelanjaan kemajuan sebanyak $19.8 juta,” jelasnya lagi ketika menyampaikan mukadimah mengenai peruntukan bagi Kementerian Pendidikan di Persidangan Majlis Mesyuarat Negara, hari ini.

    Yang Berhormat Pehin menambah bahawa kementeriannya akan berusaha dengan gigih dalam memastikan peruntukan itu akan digunakan dengan sebaik-baiknya di samping juga mengambil sikap berhemat dalam berbelanja mengikut keperluan dan keutamaan.

    Yang Berhormat Pehin berkata lagi bahawa Kementerian Pendidikan sebagai agensi peneraju dalam membangun serta membentuk sumber tenaga manusia akan terus mendukung hasrat untuk merealisasikan Wawasan Brunei 2035, khususnya dalam menghasilkan rakyat yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi.

    Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi.
    Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi.

    Dalam mukadimahnya itu, Yang Berhormat Pehin telah menggariskan perubahan dan pencapaian-pencapaian yang dilakar sepanjang pelaksanaan Sistem Pendidikan Negara Abad ke-21 (SPN21) yang telah memasuki tahun ke-8.

    Yang Berhormat Pehin juga berkata, bagi merealisasikan SPN21, Kementerian Pendidikan dari semasa ke semasa merangka perancangan strategik yang mengandungi beberapa inisiatif dalam lima bidang utama yang memiliki petunjuk prestasi utama dan sasaran masing-masing iaitu kualiti guru, kualiti sekolah dan institusi pengajian, pencapaian dan kejayaan pelajar, penyertaan dalam pendidikan serta kualiti pendidikan pasca-menengah.

    Selain daripada bidang-bidang utama itu, Kementerian Pendidikan turut merangka rancangan penambahbaikan dalam bidang-bidang perkembangan profesional di setiap peringkat, kualiti kepimpinan di setiap peringkat, kualiti pengajaran dan pembelajaran serta penekanan terhadap kesihatan, keselamatan, kawalan keselamatan dan alam sekitar di setiap peringkat.

    Yang Berhormat Pehin juga berkata, dengan peruntukan yang ada itu, Kementerian Pendidikan akan terus berusaha gigih untuk meningkatkan kualiti dan produktiviti perkhidmatan pendidikan melalui pelbagai inisiatif dan pada masa yang sama mengoptimumkan sumber-sumber yang ada.

    “Langkah penjimatan ini adalah peluang yang baik untuk Kementerian Pendidikan meneliti semula perbelanjaan bagi mengelakkan pembaziran dan perkhidmatan yang tidak produktif atau yang tidak menghasilkan nilai kepada perbelanjaan yang digunakan (value for money),” tambahnya.

    Pada masa yang sama, beliau berkata bahawa kementeriannya menyedari akan pentingnya dalam merenung kembali dan menilai usaha yang telah dilaksanakan selama ini.

    Oleh itu, menerusi proses muhasabah diri yang dijalankan, beliau berkata bahawa disedari inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan tidak semua mendatangkan hasil atau memenuhi sasaran yang dihasratkan serta ada yang nampaknya kurang berdaya tahan kerana tidak dipantau sebaik-baiknya.

    Dalam hubungan itu, Kementerian Pendidikan perlu melakukan perubahan dengan memastikan sistem dalaman dipertingkatkan lagi kepada yang lebih efisien, kepimpinan berkualiti tinggi di setiap peringkat, proses perubahan yang lebih teliti dan teratur agar lebih berkesan dan berkualiti serta yang paling penting ialah keupayaan Kementerian Pendidikan dalam memastikan pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan adalah yang benar-benar berkualiti tinggi.

    Di samping itu, Kementerian Pendidikan sentiasa mengkaji SPN21 untuk penambahbaikan dan meningkat majukan, selaras dengan perkembangan yang berlaku di peringkat kebangsaan dan juga peringkat global.

    “Salah satu ikhtiar yang sedang diusahakan adalah kaedah pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah melalui ’Dialogik Teaching and Learning’. Kaedah ini menggunakan kuasa bercakap atau berdialog di antara guru dan murid dan memajukan pembelajaran dan pemahaman mereka. Belajar melalui dialog bukan sahaja membawa kepada pengetahuan kandungan tetapi kemahiran berfikir yang lebih baik.

    “Ini adalah sejajar dengan aspirasi SPN21 yang berhasrat untuk memupuk dan menjana beberapa set kebolehan dan kemahiran seperti ’ communcation skills’, ’thinking skills and problem solving’ dan ’ self management and competitive skills’ yang akan menjurus kepada pembangunan ’high order thinking skills’.”

    Yang Berhormat Pehin juga menyatakan bahawa kementeriannya akan sentiasa bekerjasama rapat dan menggembleng tenaga dengan kementerian dan agensi-agensi kerajaan yang lain serta pihak swasta dalam mengusahakan inisiatif yang berkaitan dengan pendidikan dan pembentukan sumber tenaga manusia.

    Pada masa yang sama, Kementerian Pendidikan juga turut memberi sokongan sepenuhnya kepada mana-mana usaha kementerian dan agensi lain ke arah pengukuhan kapasiti sumber tenaga manusia, seperti program perantisan iaitu Program iReady.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda