Imbas kod QR sebelum naik pengangkutan awam

Oleh Sim Y.H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 JUN – Jabatan Pengangkutan Darat (JPD), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi memaklumkan orang ramai bahawa bermula hari ini, semua kenderaan pengangkutan awam terutamanya bas-bas awam, teksi dan perkhidmatan e-hailing (Dart) akan menggunakan aplikasi BruHealth yang bertujuan menjaga kesejahteraan dan keselamatan semua penumpang pengangkutan awam.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini, JPD menyarankan para pe-numpang pengangkutan awam supaya mengimbas kod QR yang disediakan di setiap kenderaan awam sebelum menaiki kenderaan dan turun dari kenderaan, di mana pemandu dan konduktor bas perlu mengimbas Kod Sendiri atau My Code penumpang menggunakan aplikasi PremiseScan atau mengisikan borang deklarasi kesihatan secara bertulis jika perlu.

Sementara itu, semua pengusaha dan pemandu pengangkutan awam dinasihatkan mematuhi saranan Kementerian Kesihatan dengan memastikan jumlah penumpang tidak melebihi had kapasiti penumpang yang telah ditetapkan sekarang iaitu sebanyak 50 peratus.

Setiap penumpang bas awam juga perlu membuat penjarakan sosial sekurang-kurangnya 1 meter dan duduk secara berselang-seli antara satu dengan yang lain, memeriksa suhu badan setiap penumpang sebelum masuk kenderaan dan tidak membenarkan masuk mana-mana penumpang yang kurang sihat atau mempunyaisebarang simptom pernafasan.

Di samping itu, menyediakan cecair pensanitasi tangan, kertas tisu pakai buang dan tong sampah dalam bas awam, pemandu dan konduktor bas hendaklah sentiasa membersihkan semua permukaan di dalam bas yang sering disentuh oleh penumpang seperti tempat duduk dan rel tangan serta pemandu dan konduktor bas perlu sentiasa mencuci tangan dan tidak bertugas jika kurang sihat.

JPD dalam kenyataannya lagi mengucapkan terima kasih atas kerjasama yang diberikan oleh semua pengusaha dan penumpang pengangkutan awam demi menjaga kebersihan dan kesihatan dalam usaha bersama membendung wabak COVID-19 di negara ini.

JPD menyarankan semua kenderaan pengangkutan awam perlu menggunakan aplikasi BruHealth yang bertujuan menjaga kesejahteraan dan keselamatan semua penumpang pengangkutan awam.