Suka duka Julai-Ogos 2021

Oleh Nurdiyanah R.

Setelah meniti warna-warni coretan lalu di pertengahan tahun, Negara Brunei Darussalam terus melangkah ke arah meraih pencapaian dalam pelbagai bidang dan juga lakaran peristiwa-peristiwa sepanjang menjejaki bulan Julai dan Ogos 2021.

Sorotan peristiwa bulan Julai

Sebagai pembuka tirai di bulan Julai, satu peristiwa manis telah dilakar di mana Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) berkenan berangkat ke Majlis Doa Kesyukuran Sempena Sambutan Hari Puja Usia Duli Yang Teramat Mulia yang ke-38 tahun anjuran Yayasan.

Semasa majlis tersebut, Duli Yang Teramat Mulia telah berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan Yayasan sebanyak $50,000 dan juga hasil kutipan tabung derma daripada warga kerja Yayasan sebanyak $1,772 kepada Tabung Kemanusiaan Palestin 2021.

Seperti lazimnya turut mewarnai tanah air kita, detik 1 Julai lalu juga menandakan bermulanya Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-75 tahun, di mana Upacara Pengibaran Bendera Besar Negara telah diadakan dengan penuh gilang gemilang di kawasan lapang Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah di ibu negara.

Pada awal Julai juga, satu pencapaian kemajuan ke arah mencapai matlamat pembangunan mapan (SDGs) telah diraih oleh Negara Brunei Darussalam sehingga memperoleh kedudukan tempat ke-84 daripada 193 negara di seluruh dunia dalam Laporan Pembangunan Mapan edisi terbaharu yang disiarkan oleh Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mapan disokong oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sekali gus menempatkan negara kita di tangga ketiga di rantau ASEAN.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ketika berkenan melancarkan aplikasi sukarelawan yang dinamakan ‘Mengalinga’ semasa Majlis Sambutan HBK ke-16 pada 7 Ogos lalu.
Brunei COVID-19 AirLab adalah sejenis makmal mudah alih yang dibina di BRIDEX, Jerudong.
Sebahagian orang ramai berusia 18 tahun ke atas yang menunggu giliran untuk menerima suntikan vaksin di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah semasa bermulanya Fasa Ketiga Program Vaksinasi Kebangsaan COVID-19 yang bermula pada 5 Julai 2021.
Kemeriahan majlis ramah mesra bersama rakyat di Tutong.

Pada 5 Julai, Syarikat Pelabuhan Muara Sdn Bhd (MPC) telah mencatatkan satu lagi mercu tanda penting apabila menandakan permulaan kerja-kerja awal bagi Projek Pengembangan Pelabuhan Muara dengan mengadakan Majlis Doa Selamat bagi Pra-Permulaan Projek Pengembangan Pelabuhan Muara di tapak projek di Muara.

Dalam bulan ini juga, pada 5 Julai lalu Fasa Ketiga Program Vaksinasi Kebangsaan COVID-19 Brunei Darussalam telah bermula yang dibukakan kepada orang ramai yang berumur 18 tahun ke atas yang boleh mendapatkan suntikan vaksin tersebut di semua pusat vaksinasi di negara ini berdasarkan tempahan awal slot vaksinasi mereka menerusi aplikasi BruHealth.

Menjelang pertengahan Julai iaitu setiap 15 Julai merupakan detik kema- nisan yang begitu dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat dan penduduk tanah air bagi sama-sama menzahirkan rasa syukur dan kasih sayang yang amat mendalam serta kegembiraan di atas Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-75.

Malam sebelum 15 Julai lazimnya berlangsung Majlis Kesyukuran sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Sultan di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong yang juga diadakan di masjid-masjid utama di seluruh negara. Diikuti pula dengan berlangsungnya Istiadat Barisan Kehormatan yang berlangsung di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien pada pagi 15 Julai dan diselajurkan pula dengan Istiadat Mengadap dan Mengurniakan Bintang-bintang Kebesaran di Balai Singgahsana Indera Buana, Istana Nurul Iman. Seterusnya, sambutan dimeriahkan dengan majlis ramah mesra bersama rakyat di sepanjang bulan tersebut.

Sorotan peristiwa bulan Ogos

Sekitar awal bulan Ogos, kerajaan Negara Brunei Darussalam terus melangkah dalam sama-sama memben-dung jangkitan COVID-19 dalam kalangan seluruh lapisan masyarakat dengan meneruskan misi program suntikan vaksinasi kebangsaan iaitu bermula 9 Ogos lalu, vaksin AstraZeneca (AZ) telah mula digunakan bagi semua individu yang belum pernah menerima vaksin COVID-19 iaitu bukan hanya dikhususkan bagi mereka yang berumur 50 tahun ke atas.

Pada 7 Ogos, KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, berserta kerabat diraja berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Hari Belia Kebangsaan (HBK) ke-16 di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas. Acara kemuncak sambutan ialah penyampaian Anugerah HBK 2020 dan 2021 dalam empat kategori yang berkenan disempurnakan oleh Baginda Sultan.

Setelah tiada jangkitan kes COVID-19 pada kesekian lamanya, pada 7 Ogos lalu juga bagaikan peristiwa duka bagi negara kita setelah menerima berita rasmi mengenai berlakunya penularan kembali kes di negara ini di mana Kementerian Kesihatan mengesahkan 17 kes baharu COVID-19 dengan 15 jangkitan adalah kes tempatan daripada tiga kluster yang dinamakan Kluster Al-Falah, TOTAL LNG dan Starlodge menandakan bermulanya gelombang kedua.

Dengan matlamat bagi meningkatkan kapasiti ujian makmal SARS-CoV-2 di negara ini, sebuah makmal virologi tambahan yang dinamakan sebagai Brunei COVID-19 AirLab telah diperkenalkan oleh Kementerian Kesihatan, hasil kerjasama pihak kerajaan dengan Beijing Genomics Institute (BGI) pada 18 Ogos lalu. Makmal yang dibina di BRIDEX, Jerudong tersebut adalah sejenis makmal mudah alih yang mempunyai keselamatan bio peringkat 2 dan mampu menampung sehingga 5,000 ujian dalam sehari.

Di penghujung bulan Ogos, Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar turut mengumumkan varian Delta telah dikesan pertama kali di negara ini berdasarkan hasil ujian genotyping atau sequencing pada kesemua 20 sampel dari kes-kes tempatan yang telah dihantar ke luar negara pada sebelumnya.