Oleh Normazlina M.D
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Jun – Mengadakan rumah terbuka sempena Aidilfitri ini bukan sahaja mampu mengeratkan hubungan silaturahim antara kalangan keluarga, bahkan ia turut mengeratkan hubungan sahabat handai dan para penggiat seni tanah air di negara ini.
Sehubungan itu, Pengiran Hajah Maskuin binti Pengiran Haji Mohammad, salah seorang pelakon veteran tanah air turut tidak ketinggalan mengadakan rumah terbuka khusus buat ahli keluarga, saudara-mara dan sahabat-handai yang mengenalinya di Kampung Kiarong, semalam.
Hadir pada majlis rumah terbuka tersebut ialah Kumpulan Insan Seni (KIS), Penggiat Seni Tanah Air Brunei (PESTAB) dan para pelakon tanah air lainnya.
Turut hadir bagi mewakili KIS ialah Timbalan Pengerusi, Haji Abdul Hakim bin Haji Mohd Yassin dan Pengerusi PESTAB, Awang Serudin bin Haji Damit.
Pengiran Hajah Maskuin merupakan seorang pelakon veteran yang dikenali dan salah seorang ahli KIS. Antara matlamat rumah terbuka tersebut adalah untuk berkumpul bersama-sama para pelakon tempatan dan penggiat seni tanah air dalam sama-sama mengimbau semula kenangan mereka dalam bidang seni lakonan.
KIS yang ditubuhkan sejak tiga tahun yang lalu adalah bertujuan bagi menghimpunkan para pelakon tempatan, dengan matlamat untuk menjalankan aktiviti berkebajikan dan kemasyarakatan selain bergiat dalam seni lakonan.