Saturday, April 20, 2024
23.6 C
Brunei

    -

    Imbau penglibatan pertama ABDB dalam misi antarabangsa

    Oleh Salawati Haji Yahya
    Gambar serahan Kementerian Pertahanan

    Setelah Negara Brunei Darussalam mencapai kemerdekaan pada tahun 1984, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) yang dulunya dikenali sebagai Askar Melayu Diraja Brunei (AMDB) terdiri daripada 60 orang rekrut, telah menyediakan pertahanan asas untuk keselamatan negara.

    Setelah beberapa dekad berlalu, ABDB terus berusaha mengembangkan peranannya dan kesediaannya dalam menjalankan berbagai operasi bagi menangani ancaman pertahanan yang kompleks ke arah memastikan kestabilan dan keamanan negara serta persekitaran serantau, menurut kenyataan yang diterima dari Kementerian Pertahanan.

    Ke arah mencapai tahap itu, ABDB menyedari kepentingan untuk membina pengalaman dalam misi antarabangsa, membuat operasi bersama-sama dengan angkatan tentera dari seluruh pelusuk dunia.

    Ketika ini, ABDB dikenali sebagai sebuah pasukan pertahanan yang berwibawa dari sebuah negara yang merdeka lagi berdaulat dan mampu menyumbang kepada usaha-usaha serantau dan global dalam mempromosikan keamanan, keselamatan dan stabiliti di tengah-tengah ancaman sekuriti yang bersifat transnasional dalam persekitaran strategik.

    Komitmen ABDB, akan terus kekal bagi memajukan pasukannya secara progresif untuk menjadi sebuah organisasi yang berwibawa dan dipercayai oleh rakan kongsi serantau dan antarabangsa seperti yang dinyatakan dalam Kertas Putih Negara Brunei Darussalam 2021 yang telah dirasmikan semasa Ulang Tahun Jubli Intan ABDB pada bulan Mei 2021.

    Pegawai Angkatan Bersenjata Diraja Brunei kembali ke tanah air dari Kemboja selepas berkhidmat dengan UNTAC.
    Mejar Pengiran Haji Rosli bin Pengiran Haji Chuchu bersama pemerhati lain dari Kerajaan Sementara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Kemboja (UNTAC).
    Gambar menunjukkan tentera PBB mengawal pelarian pulang ke Kemboja.

    Mengimbas semula sejarah yang tercatat pada tahun 1992, ia merupakan satu mercu tanda yang bersejarah bagi ABDB kerana ia menandakan titik permulaan penglibatan ABDB dalam mengorak langkah menyertai misi pengaman antarabangsa.

    Tiga orang pegawai Tentera Darat Diraja Brunei yang terdiri daripada Mejar Haji Shahrin bin Haji Shahbudin, Mejar Pengiran Haji Rosli bin Pengiran Haji Chuchu dan Kapten Zainal Ariffin bin Zainuddin, telah menyertai misi sulung ABDB di Kerajaan Sementara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Kemboja (UNTAC).

    Dalam misi itu, mereka sebagai pemerhati tentera dari 19 November 1992 hingga 13 Oktober 1993 bersama dengan 12 anggota dari Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) selaku wakil Negara Brunei Darussalam. Ketiga-tiga pegawai ABDB tersebut telah ditugaskan di kawasan operasi yang berbeza iaitu di Kampung Cham, Siem Reap dan Kampung Thom.

    Imbau pengalaman menyertai misi

    Kenyataan tersebut menyatakan, Kolonel (B) Pengiran Dato Paduka Haji Rosli bin Pengiran Haji Chuchu semasa ditemu bual juga berkongsi kenangan semasa menjadi Pemerhati Tentera Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UMNOS) di Siem Reap, Kemboja.

    Beliau telah berkhidmat dengan Pasukan Pemantauan Sektor (SMT) dan dipanggil Pasukan 202 Ank Chum Pourk di mana pasukan tersebut termasuk pegawai dan pegawai polis awam (CivPol) dari negara anggota PBB yang lain, serta jurubahasa tempatan.

    Tugas mereka adalah untuk membuat rondaan di kawasan kampung dan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan dan konflik yang berlaku di wilayah tersebut. Pada hari pilihan raya pula, beliau dilantik sebagai ‘Penyelia Pilihan Raya Daerah’ di mana pasukannya bertanggungjawab memastikan pusat mengundi selamat bagi penduduk setempat.

    Salah satu pengalaman beliau yang paling tidak dapat dilupakan berlaku semasa beliau bersama dua pegawai tentera PBB dan jurubahasa mereka diserang hendap oleh gerila Khmer Rogues semasa rondaan rutin dan kenderaan serta peralatan mereka dirampas daripada mereka.

    Objektif UNTAC

    Antara objektif UNTAC adalah untuk “memerhatikan aktiviti gencatan senjata, penamatan bantuan tentera asing dan penarikan pasukan tentera luar negara; menyatukan, mengumpul dan melucutkan senjata semua pasukan bersenjata Kemboja di samping memastikan tahap demobilisasi mencapai 70 peratus.

    “Selain membuat pengawalan dan mengawasi struktur pentadbiran termasuk polis, memastikan dan menghormati hak asasi manusia serta mengatur dan mengadakan pilihan raya yang bebas dan adil,” menurut kenyataan.

    Pegawai-pegawai ABDB, anggota PPDB bersama kontinjen dari negara lain telah berganding bahu untuk mencapai objektif tersebut. Sepanjang misi itu, UNTAC turut menyaksikan penyertaan lebih 21,000 anggota tentera dan awam dari lebih 100 negara.

    Kejayaan menyertai misi

    Kejayaan menggalas amanah menyertai misi ke luar negeri buat julung kalinya telah menjadi pelopor bagi ABDB untuk meningkatkan penyertaannya dalam misi-misi yang lain dan menandakan komitmen negara dalam meningkatkan lagi keselamatan serantau dan antarabangsa

    Ini jelas melalui penglibatannya di pelbagai misi di peringkat serantau dan antarabangsa, termasuk penyertaan aktif ABDB di Pasukan Pemantau Antarabangsa (IMT) di Republik Filipina sejak tahun 2004; United Nations Interim Force in Lebanon (UNIFIL) sejak tahun 2008 dan Command Watch Captain at Combined Task Force 151, the Gulf of Aden sejak tahun 2010.

    Di samping itu, ABDB turut memberi sokongan kepada Independent Decommissioning Body Verification, Monitoring and Assistance Team (IDB-VMAT) di Mindanao, Republik Filipina sejak dari tahun 2019.

    Tambahan pula, ABDB turut menempatkan anggotanya di beberapa pusat serantau yang ditubuhkan oleh Republik Singapura termasuk Information Fusion Centre (IFC) sejak 2013, Regional Humanitarian Assistance and Disaster Relief Coordination Centre (RHCC) sejak 2015 dan Counter-Terrorism Information Facility (CTIF) sejak awal 2021.

    Misi pengaman ABDB yang julung kalinya diadakan di luar negara itu telah membuka ruang untuk mendalami dan memperluaskan kerjasama serta mengukuhkan pengiktirafan antarabangsa dalam keupayaan Negara Brunei Darussalam untuk menjalankan pelbagai tugasan dalam misi-misi pemantauan dan pengaman.

    Pencapaian itu, menurut kenyataan telah mengharumkan nama negara di persada antarabangsa dan sekaligus meningkatkan dan memperkukuhkan imej ABDB dalam mempromosikan keamanan serantau dan sejagat.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...