WELLINGTON, 18 JAN – Letusan gunung berapi dasar laut di pulau Pasifik, Tonga menyaksikan negara itu hampir hilang daripada pandangan, berdasarkan pendedahan imej hari ini, dengan sebahagian besar kawasannya diselubungi abu kelabu atau rosak akibat tsunami.
Letusan gunung berapi setinggi 30km dari permukaan laut pada Sabtu dan mengeluarkan abu, gas dan hujan asid di sebahagian besar kawasan di Pasifik. New Zealand mengatakan dua orang disahkan terbunuh, memetik sumber daripada polis di pulau Tonga.
Tiga hari selepas letusan, dunia luar masih bergelut memahami skala kemusnahan menggunakan hubungan telefon satelit, pesawat pemantauan dan imej satelit.
Meskipun bekalan kuasa dan sistem telefon tempatan sudah dipulihkan separa, komunikasi antarabangsa masih lagi terputus.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam kenyataan diperolehi daripada pegawainya di Tonga, mengatakan komunikasi antarabangsa dan kesambungan internet masih terganggu dan hanya berhubung menggunakan telefon satelit untuk mendapatkan maklumat.
Menurut WHO, sekitar 100 buah rumah rosak, dengan 50 musnah di pulau utama, Tongatapu.
Sekitar dua sentimeter debu dan abu menyelubungi Tongatapu, meningkatkan kebimbangan pencemaran udara dan potensi mencemari bekalan makanan dan air.
Sementara itu imej satelit dikeluarkan Maxar Technologies hari ini menunjukkan kawasan gunung berapi di atas paras laut beberapa hari lalu, kini hanya menunjukkan laut terbentang luas.
Hanya dua pulau gunung berapi amat kecil kelihatan di paras permukaan laut selepas letusan. – AFP