MOSCOW, 20 April – Imej FIFA yang tercemar jelas menjejaskan pencarian penajaan bagi Piala Dunia 2018 di Rusia, kata Timbalan Perdana Menteri, Vitaly Mutko semalam.
Ulasan beliau dibuat selepas Financial Times melaporkan badan induk bola sepak dunia yang tercemar dengan rasuah itu bergelut untuk mencari penaja baru bagi perlawanan Piala Duni, dengan syarikat di Rusia ‘lambat untuk tampil’.
Kesukaran dalam mendapatkan penaja ‘berpunca daripada fakta bahawa terdapat serangan besar ke atas FIFA’, agensi berita Interfax memetik Mutko sebagai berkata.
“FIFA didakwa melakukan rasuah, mereka menjejaskan diri mereka. Kehilangan dari segi imej adalah sangat besar.”
Mutko menambah laporan FT telah ‘disalahertikan’ dengan kesukaran FIFA. “FIFA berada dalam kesukaran bukan hanya untuk Piala Dunia 2018 di Rusia tetapi untuk perkara lain secara umum,” kata Mutko.
FIFA bergelut untuk mencari penaja baru sejak skandal rasuah yang menggulingkan ketuanya Sepp Blatter dan berpuluh pegawai bola sepak yang lain pada 2015.
Sony dan penerbangan Emirates menamatkan penajaan peringkat tinggi selepas Piala Dunia 2014 dan tidak digantikan dengan cepat.
FIFA bulan ini mengumumkan kerugian kewangan bagi 2016 menyebabkan sebahagian besar rizabnya setahun lalu terpaksa digunakan.
Mutko, yang juga mengetuai kesatuan bola sepak Rusia, dihalang daripada merebut semula kerusinya dalam Majlis FIFA bulan lalu atas sebab kedudukannya sebagai timbalan perdana menteri.
Jawatankuasa kepimpinan FIFA menyatakan Mutko tidak layak untuk bertanding berdasarkan asas ‘keberkecualian dan pencegahan sebarang campur tangan kerajaan’. – AFP